Tuesday, March 13, 2012

Didakwa pecah amanah RM49.7j

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:




Shahrizat Abdul Jalil bersama Wan Shahinur Izmir hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, untuk memberi sokongan moral kepada Mohamad Salleh Ismail (gambar kanan) yang didakwa atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM 49.7 juta, tiga tahun lalu. - utusan/Mohd. Azim Abd. Rahman



KUALA LUMPUR 12 Mac - Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965, tiga tahun lalu.
Mohamad Salleh, 64, kelihatan tenang semasa membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah di dalam mahkamah yang penuh sesak dengan petugas media, pekerja syarikat tersebut dan ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mohamad Salleh yang berpakaian kot hitam dan bertali leher coklat sebelum itu tiba di bangunan mahkamah kira-kira pukul 1.30 petang dan disusuli oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bersama anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izmir serta ahli keluarga yang lain.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menyalahgunakan RM9,758,140 milik NFCorp melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit kondominium One Menerung, Parcel B1-1 dan B1-2, Blok B, Bangsar di sini antara 1 dan 4 Disember 2009.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Bhd., 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail di sini untuk syarikat milik keluarga tertuduh, National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan RM40 juta milik NFCorp dengan memindahkan wang tersebut melalui sekeping cek dari bank yang sama ke dalam akaun Malayan Banking Bhd. cawangan Solaris, Mont Kiara milik National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd. bagi kegunaan syarikat itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Bhd. beralamat sama antara 6 Mei dan 16 November 2009.
Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan denda.
Mohamad Salleh turut didakwa atas dua tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965 kerana melakukan kedua-dua transaksi tersebut tanpa kebenaran mesyuarat agung NFCorp pada tarikh dan tempat yang sama.
Bagi kedua-dua tuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 132 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM30,000.
Peguam Badrul Munir Bukhari yang hadir bagi pihak peguam utama, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili Mohamad Salleh memohon jaminan RM50,000 bagi setiap tuduhan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Menurut beliau, kesemua harta dan aset milik NFCorp telah dibekukan oleh Bank Negara Malaysia menyebabkan tiada risiko untuk harta-harta itu dibawa ke tempat lain atau disalah guna oleh tertuduh.
''Anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini dengan tujuan membersihkan namanya dan begitu juga dengan keluarga beliau yang berada di belakang (galeri awam),'' ujarnya.
Tertuduh turut diwakili oleh tiga peguam lain iaitu Datuk Ahmad Redza Abdullah, Wan Azmir Wan Majid dan W. Sheelan Samuagam.
Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad yang tidak membantah mengenai jumlah jaminan tersebut turut mencadangkan supaya tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Komathy kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM500,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Wan Shahinur Izmir, 32, tampil sebagai penjamin bapanya.
Sebutan kes ditetapkan pada 13 April ini.
NFCorp menjadi isu hangat ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu yang menyatakan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang mana NFCorp adalah syarikat yang mengendalikan projek ternakan lembu di bawah pusat itu telah gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Ia disusuli dengan dakwaan pembangkang bahawa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana syarikat yang dikendalikan oleh suami Shahrizat tersebut.
Shahrizat semalam mengumumkan keputusannya untuk berundur daripada jawatannya sebagai menteri pada 8 April ini.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment