Thursday, April 12, 2012

Daulat Tuanku

Foto
TUANKU Abdul Halim Mu’azam Shah, 84, selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu selepas sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri, dan hadirin berdiri dan melaungkan `Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali, diketuai pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Rakyat makin matang sedia masuki era baru

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan percaya selepas lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia sudah mencapai tahap kematangan yang tinggi dan bersedia memasuki era baru. 

Berpegang kepada hal ini kata Perdana Menteri, kerajaan membatalkan tiga proklamasi darurat di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya memastikan hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin.

“Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan,” katanya berucap pada istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen sudah membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan semua ordinan di bawah perisytiharan itu mansuh pada Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah. 
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Isnin ini, beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Persidangan Dewan Rakyat.

“Pada hemah kerajaan, meskipun ISA sudah banyak berjasa kepada negara, ia telah pun melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks,” katanya.

Mengikut undang-undang baru, katanya, kerajaan mengambil keputusan menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri, manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan.

“Kuasa semakan kehakiman pula dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin tiada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya,” katanya.

Najib berkata, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas yang dibacakan pertama kali di Persidangan Dewan Rakyat kelmarin, bukan saja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berParlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warga negara.

“Semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku, Insya-Allah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia,” katanya.

Menyentuh hubungan Raja dan rakyat, Perdana Menteri berkata, sejarah membuktikan apabila perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, sebarang kemelut dapat ditangani dengan jayanya.

“Kendatipun pertautan Raja dan rakyat sedang menelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa,” katanya. Najib, mewakili kerajaan dan rakyat seluruhnya, turut merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh Tuanku Abdul Halim yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata. 

Katanya, istiadat pertabalan penuh bersejarah hari ini, di mana Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kedua kalinya, juga turut menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang terzahir sejak lebih lima dekad lalu.

“Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung sejak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan nasional,” katanya.

No comments:

Post a Comment