Thursday, April 12, 2012

KM Sabah nafi terlibat dalam skandal balak RM400j



April 12, 2012
KUALA LUMPUR, 12 April — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini menafikan dakwaan rasuah yang mengaitkan dirinya dengan skandal rasuah pembalakan bernilai RM400 juta seperti mana yang didedahkan dalam Sarawak Report baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan, pemimpin Umno ini juga menafikan mempunyai apa-apa kaitan dengan pengusaha balak Sabah Michael Chia, individu yang telah ditahan dan didakwa mengubah wang haram selepas cuba menyeludup masuk SGD16 juta (RM40 juta) ke Malaysia pada 2008.
Menurut laporan media, Chia dikatakan memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang itu adalah kepunyaan Musa.
“Saya nafikan semua tuduhan ini. Saya mahu katakan sekali lagi yang saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan individu bernama Michael Chia,” kata Musa (gambar)dalam kenyataan hari ini.
Musa sebaliknya menuduh Sarawak Report berniat jahat, mendakwa tuduhan rasuah itu mungkin sebahagian daripada konspirasi yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Malangnya terdapat pihak di luar sana yang akan terus mengitar semula tuduhan-tuduhan seperti ini apabila pilihan raya semakin dekat.
“Rakyat Sabah boleh buat keputusan berdasarkan rekod prestasi saya. Bukan mereka yang tidak dikenali dan tidak bernama yang menggunakan blog untuk berkhidmat demi kepentingan politik mereka,” katanya.
Bagaimanapun Musa menambah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa jika perlu namun menegaskan pada masa sama mahu memberikan fokus kepada negeri pimpinannya.
Sarawak Report minggu lalu mendakwa mempunyai dokumen penglibatan Musa dan adiknya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam skandal balak bernilai jutaan ringgit.
Awal minggu ini, pemimpin PKR mendakwa perkara yang sama, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesyorkan pendakwaan ke atas kedua-dua adik-beradik itu namun ia dihalang Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Darell Leiking turut memberikan tempoh selama seminggu kepada kerajaan BN untuk mengarahkan Musa dan Anifah mengambil cuti sementara daripad tugas mereka dan menggantung Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail, yang juga dikatakan turut terlibat dalam skandal itu.

No comments:

Post a Comment