Thursday, April 12, 2012

Trauma tsunami '04: Penduduk enggan pulang

Trauma dengan kejadian tsunami yang berlaku lapan tahun lepas menyebabkan penduduk di Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani mengambil keputusan sendiri untuk berpindah setelah merasai gegaran yang kuat petang Rabu walaupun tiada arahan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Kesan gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter di Aceh petang Rabu, lebih 500 orang dari beberapa kampung di Kota Kuala Muda nekad berpindah.

Antara kampung yang berisiko tinggi terhadap ancaman tsunami di Kota Kuala Muda ialah Kampung Kuala Tepi Sungai, Kampung Kepala Jalan, Kampung Padang Salim, Kampung Keda dan Kampung Hujong Matang.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di sekitar Kota Kuala Muda malam Rabu terkawal dan penduduk berpindah beramai-ramai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda iaitu kira-kira 2.5km jauh dari kawasan pantai.

Walaupun nasihat tsunami ditarik balik di Malaysia pada pukul 10 malam oleh Jabatan Mateorologi Malaysia, penduduk tetap tidak mahu pulang ke rumah masing-masing kerana tidak yakin terhadap perkara itu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment