Sunday, June 3, 2012

Anak Derhaka.

KESEORANGAN: Kakitangan Pusat Jagaan Nur
Ehsan menyalin baju warga emas yang ditingalkan
kini dalam keadaan uzur.

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 40-an tergamak menghantar bapa kandungnya berusia 70 tahun yang diserang angin ahmar ke Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas, di sini, dan enggan mengaku beliau anak warga emas itu. 
Sebaliknya, lelaki itu mendakwa beliau hanya jiran yang prihatin terhadap nasib lelaki tua berkenaan. 

Bagaimanapun, tembelang lelaki terbabit, yang juga jurutera di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini, terbongkar apabila pengurusan pusat jagaan berkenaan membuat semakan dengan beberapa pihak. 
Ketika mendedahkan perkara itu, Pengurus Pusat Jagaan Nur Ehsan, Cik Norijah Bidin, berkata jurutera terbabit, yang juga anak tunggal warga emas berkenaan menghubungi pihaknya dan bertanya mengenai kemudahan di pusat itu bermula bulan lalu.
"Lelaki terbabit mengaku jiran warga emas berkenaan dan dalam perbualan telefon, dia menyatakan simpati terhadap nasib lelaki tua itu.
"Lelaki itu turut mendakwa warga emas berkenaan hidup sebatang kara, justeru, dia berhasrat menghantarnya ke pusat jagaan kami.
"Pada masa sama, warga emas itu juga mengalami kesulitan bercakap selain nyanyuk dan gagal memberikan maklumat berkaitan warisnya," katanya di sini, kelmarin.
Menurut Cik Norijah, pihaknya setuju warga emas itu dihantar ke pusat jagaan itu dan menawarkan tempat perlindungan percuma berikutan lelaki tua itu tiada waris.
"Kami berbual berkaitan keadaan warga emas itu dan selepas ditinggalkan di pusat jagaan kami, keadaan kesihatannya bertambah teruk.
"Berdasarkan maklumat pada kad pengenalan warga emas itu, kami melakukan siasatan dan terkejut apabila mendapati jiran yang menghantarnya ke sini adalah anak kandungnya.
"Kami tidak sangka lelaki itu bersandiwara semata-mata mahu melepaskan tanggungjawab sebagai anak," kata Cik Norijah.
Menurut Cik Norijah, setelah dihubungi, lelaki berkenaan mengaku warga emas berkenaan bapa kandungnya dan beliau tidak sanggup memeliharanya kerana sibuk bekerja.
"Lelaki itu, yang berpendapatan tinggi juga menyatakan tidak mampu menyumbang kepada pusat jagaan kami kerana banyak hutang, selain menanggung keluarga dan empat anak yang masih bersekolah," katanya sambil menambah lelaki itu terus tidak menziarahi bapanya sehingga kini. - Harian Metro.

No comments:

Post a Comment