Sunday, June 17, 2012

Cari sampah sara empat anak

Cari sampah sara empat anak
Demi sesuap nasi Norazila sanggup mencari sampah.
Cari sampah sara empat anak
Walaupun masih kecil, keempat-empat anak kecil ini memahami keperitan dan
penat lelah yang dilalui ibunya.
Dalam rancaknya pembangunan pelancongan yang menyajikan pelbagai peluang pekerja di Langkawi masih terdapat lagi keluarga yang melalui kehidupan sukar akibat dicengkam kemiskinan.

Sinar Harian menyelami kehidupan Norazila Derani, 30, yang bekerja mencari sampah dan barang terpakai di pusat pengumpulan dan pelupusan sampah berdekatan Kampung Belanga Pecah.

Bertemankan seorang daripada anak perempuannya Nor yang berusia 8 tahun, Sinar Harian dibawa menemui ibunya di tempat pelupusan itu.

Kelihatan anak gadis itu cukup riang apabila dapat mencari ibunya dicelah-celah longgokan sampah.

“Emak ada orang nak jumpa, dia nak mai tanya mak, pasai apa tak tau”, katanya.


Bertahun kerja cari sampah 

“Inil ah kerja saya selama ini memang payah la, tapi nak hidup kenalah buat kerja macam ni,” kata Norazila yang kelihatan letih kerana mengandungkan anak yang kelima.

Menurutnya, suaminya kini telah dipenjarakan dan segala perbelanjaan untuk menguruskan anak-anak, makan minum dan perbelanjaan sekolah semuanya ditanggung olehnya.

“Kalau tak kerja tak ada duit belanja, ini pun paling banyak dapat dalam RM20, kalau ada banyak dapatlah lebih sikit.

“Saya pun tak tahu macam mana, untuk anak kelima ini tak banyak yang saya dapat sediakan untuknya kerana beban yang ditanggung oleh saya sekarang cukup berat,” katanya.

Ketika ditanya berapakah usia kandungannya, SinarHarian agak terkejut apabila diberitahu sudah memasuki tujuh bulan.

“Saya terpaksa, tiada siapa yang dapat bantu. Kalau tak ada duit untuk bagi makan anak-anak lagi susah, biarlah saya tetap teruskan kerja ini selagi termampu,” katanya.

Norazila berkata, dengan kesukaran yang dialaminya sekarang, dia tidak mampu untuk membayar segala kos untuk membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan api dan air di rumahnya.

“Saya mohon jasa baik pihak pihak tertentu atau pihak yang ingin membantu keluarga saya untuk mendapatkan kemudahan yang lebih baik.

“Semuanya bukan untuk saya tetapi untuk anak-anak, sedih apabila direnung kembali keadaan kami,” katanya.

Ketika berkunjung di rumahnya, ternyata keadaan di sana sangat daif. Rumah mereka langsung tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Difahamkan mereka mandi di kolam, elektrik pula Norazila terpaksa menumpang rumah orang tuanya yang berdekatan.


Kongsi pendapatan

Anak sulung Norazila, Mohamad yang kini berusia 11 tahun terpaksa mencari perbelanjaan tambahan dengan menangkul ketam di sekitar sungai berhampiran.

“Duit yang kami dapat dari ketam yang ditangkap kena bagi kat mak juga untuk bantu dia.

“Saya jual ketam semua pada orang kampung, dapat sikit duit untuk bantu keluarga dan buat belanja sekolah, kadang-kadang tangkul ketam saya kena curi, payah la sikit.

“Kesian kat mak kena kerja walaupun tengah sarat mengandung, selepas sekolah saya dan Nor kena jaga adik sampai la mak balik dari kerja,” katanya.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan apabila dewasa nanti, dengan nada cukup yakin dia mahu menjaga dan menolong emaknya.

Dua lagi adik mereka yang berumur 5 dan 2 tahun agak pemalu dan kurang bercakap ketika temubual diadakan.


Rindu ayah

Nor berkata, dia cukup rindu dengan ayahnya. “Bila melawak dengan ayah cukup seronok, teringat juga kat dia,” katanya. Nor sempat juga menunjukkan kolam yang mereka gunakan untuk mandi dan membasuh pakaian.

Hampir 70 meter jarak dari rumah mereka ke kolam berkenaan.

“Kadang-kadang kami terpaksa ponteng sekolah kerana mak tak larat nak bangun. Mak kerja kuat sejak akhir-akhir ni, nasib baik tok wan (nenek) bantu kami semua kalau tidak lagi payah,” katanya kepada Sinar Harian.

Norazila bagaimanapun meminta mana-mana pihak yang prihatin agar dapat membantu mengurangkan bebannya dan anak-anak.

Cukup sedih melihat apabila dalam pembangunan ekonomi yang cukup rancak dan pesat yang ada di Langkawi ini masih lagi terdapat golongan yang susah dan daif terpinggir serta diabaikan.

No comments:

Post a Comment