Sunday, June 17, 2012

Shura minta PM bantu tangani isu penindasan di Myanmar

ALOR SETAR - Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan membantu masyarakat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar yang kini ditindas dan diancam penghapusan etnik di negara itu.
Pengerusinya Abdul Ghani Samsudin berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Najib dan berharap agar Perdana Menteri dapat memberi maklum balas berhubung surat mereka itu.

"Kami memohon bantuan Perdana Menteri supaya berhubung dengan pemimpin Mynmar dan negara Asean yang lain bagi menyelesaikan masalah ini.

"Kami juga meminta supaya sidang Parlimen membuat usul khas berkaitan isu ini dan meminta supaya kerajaan mengambil inisiatif menyuarakan keprihatinan kerajaan supaya Asean mengadakan persidangan khas tentang hal ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan tergempar ulama Asean mengenai masalah umat Islam Rohingya di sini, hari ini.

Beliau berkata jika keadaan tidak berubah, pihaknya bersedia untuk menghantar sukarelawan untuk masuk ke Arakan bagi membantu masyarakat Islam yang ditindas di sana.

"Nasib orang Rohingya sangat terpinggir berbanding dengan nasib umat Islam yang lain dan belum mendapat perhatian sewajarnya. Jadi kami sudah membuat keputusan bahawa sebuah persidangan ulama sedunia akan diadakan bagi mengangkat isu ini supaya diberi perhatian di peringkat antarabangsa," kata Abdul Ghani.

Abdul Ghani berkata jika hanya diberi bantuan kemanusiaan sahaja, ia mungkin tidak menjadi kerana ia perlu seimbang dengan campur tangan politik.
"Semua ahli politik yang beragama Islam perlu bersatu merentasi sempadan parti politik untuk bersama-sama membantu saudara kita di Myanmar.

"Saya yakin isu ini boleh selesai jika semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik dan anggota yang cintakan kebenaran dan keadilan hak asasi manusia bergabung.

Kita juga mesti ada stategi politik, sosial, ekonomi dan media serta ketenteraan jika mahu perkara ini diselesaikan," katanya.

Wilayah Rakhine di barat Myanmar mengalami pergolakan berikutan keganasan kaum dan agama antara penganut Buddha dan puak Islam Rohingya. Serangan berulang kali dilaporkan  berlaku terhadap tempat beribadat, harta benda, dan kediaman masyarakat Rohingya Islam di Rakhine dalam tempoh beberapa hari lepas.- Bernama

No comments:

Post a Comment