Saturday, June 2, 2012

KL dan Jakarta buat kajian makanan, tarian lagu 'sama'

KL dan Jakarta buat kajian makanan, tarian lagu 'sama' - Nasional - Sinar Harian:

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
$entry.content.caption.value
JAKARTA -  Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mengkaji secara terperinci karya tradisi yang diamalkan sebagai budaya hidup masyarakatnya dalam usaha menentukan kepemilikannya, sama ada milik bersama atau milik masing-masing negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuklah makanan, tarian, lagu lama dan beberapa kesenian lain.

Perkara ini, katanya, yang tergolong dalam bidang pengetahuan tradisional, adalah penting kerana jika tidak ditangani dengan cermat, boleh menyebabkan berlaku perselisihan faham seperti tuntutan bahawa ia milik negara tertentu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia Amir Syamsudin di sini, Jumaat.

Ismail Sabri, yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan tiga hari ke Jakarta, berkata perbincangan beliau dengan Amir Syamsudin menghasilkan persetujuan supaya perkara itu dibincangkan dengan terperinci di peringkat pegawai kementerian.

Antara lain hasil kajian itu boleh mewujudkan pangkalan data mengenai karya tradisi milik bersama supaya tidak ada pihak boleh menuntut bahawa sesuatu karya tradisi itu milik mereka.

"Malaysia dan Indonesia mempunyai persamaan yang begitu banyak dari segi makanan, lagu lama, tarian dan sebagainya.

"Negara kita ni dulu serumpun, kepulauan Melayu, jadi tentulah akan timbul persamaan yang boleh berlaku pertindihan," katanya.

Pada pertemuan itu, kedua-dua menteri turut bertukar-tukar pandangan tentang perkara berkaitan pengetahuan tradisional kerana Indonesia sedang dalam proses untuk mewujudkan Akta Pengetahuan Tradisional dan Malaysia juga bercadang mewujudkan akta yang sama.

Mereka juga membincangkan tentang isu penggunaan perkataan 'kopitiam', yang mengikut keputusan mahkamah di Indonesia bahawa ia milik seorang individu yang telah mendaftarkannya sebagai hak miliknya, kerana ini turut membabitkan perniagaan francais dari Malaysia iaitu Bangi Kopitiam di Indonesia.

Ismail Sabri berkata oleh kerana ini merupakan keputusan mahkamah, Malaysia menerima keputusan itu, bagaimanapun proses mahkamah belum selesai sepenuhnya kerana masih ada di peringkat rayuan dan syarikat dari Malaysia nanti perlu mematuhi keputusan akhir itu nanti. - Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment