Tuesday, June 5, 2012

PRU: 'Hidup mati' tanda BN sudah goyah, rumus Pakatan

PRU: 'Hidup mati' tanda BN sudah goyah, rumus Pakatan - Politik - Sinar Harian:

Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) penentu hidup mati Barisan Nasional (BN) dengan sendirinya menggambarkan ia semakin kurang sokongan dan peluang untuk mendapatkan semula negeri-negeri di bawah perikatan itu agak mustahil.

Naib Presiden Pas,  Salahuddin Ayub menyifatkan rakyat kini lebih pandai menilai pihak yang dapat menawarkan kerajaan yang lebih baik dalam memperjuangkan hak rakyat.

"Golongan muda pada masa sekarang sudah pun berfikiran matang dan terbuka untuk memilih pemimpin yang boleh perjuangkan hak rakyat walaupun ada segelintir masih lagi dalam pemikiran lama.

"Hal ini boleh dilihat dengan penglibatan golongan muda kepada Himpunan Hijau Menuju Putrajaya  yang diadakan baru-baru ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Sinar Harian.

Beliau baru-baru ini mengumumkan akan bertanding di Johor dalam misi PR bertapak di negeri selatan Semenanjung itu.

Kelmarin, Muhyiddin berkata PRU13 adalah penentu hidup atau mati BN.

Sehubungan itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, setiap anggota jentera parti itu perlu memberi keutamaan kepada setiap kerusi yang ditandingi pada pilihan raya tersebut.

"Kita perlu bekerja keras. Zaman mewah BN seperti dahulu sudah berlalu. Jika pembangkang melakukan sesuatu kebaikan dan rakyat menyokong mereka, itu adalah masalah bagi kita," katanya di ibu negara.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, apa yang boleh membahayakan parti itu ialah apabila anggotanya terlalu yakin mampu memenangi pilihan raya dengan mudah.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, hidup mati BN adalah bergantung kepada Umno semata-mata kerana dua komponen BN, MIC dan MCA sudah lama hilang kuasa dan sokongan rakyat.

"Parti kompenan BN, sudah makin lemah dengan kurangnya sokongan rakyat kepada parti MIC dan MCA.

"Sekarang Umno dilihat jadi penggerak utama kepada BN dan usaha untuk mendapatkan semula kerusi dilihat makin sukar tanpa sokongan yang kuat terhadap dua parti kompenan BN yang lain," kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Dalam pada itu,  Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, menunjukkan mereka masih belum yakin untuk menghadapi PRU13.

"Kita masih belum tahu siapa pemerintah kelak, kenyataan BN adalah kenyataan biasa dan mereka mungkin masih tidak yakin untuk itu," kata Seng Giaw.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment