Saturday, July 7, 2012

Kelantan Negeri Contoh


Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini- memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk activist muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak muda. Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas. Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan; nyanyian, muzik dan filem.

Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika. Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternative yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak. Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak ‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.

Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.

Tahniah YB Baihaki Atiqullah

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat. Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari alternative. Tahniah Kelantan!


Gambar: YB Baihaqi menyampai cenderahati kepada saya.

Dr.Maza

No comments:

Post a Comment