Thursday, July 5, 2012

Ketua Menteri Melaka bantu bawa bapa pulang anak dari Medan

Ketua Menteri Melaka bantu bawa bapa pulang anak dari Medan - Melaka & NS - Sinar Harian:
MELAKA - Seorang bapa terpaksa mengharungi kebimbangan selama setahun setengah sebelum berjaya membawa pulang anak perempuannya yang terkandas di Medan, Indonesia semasa anaknya itu mengikuti ibunya menziarahi keluarganya di sana.
   
Zulkifli Ahmad, 52, berkata anaknya, Zuliana, 3, dibawa ke Medan bagi menunaikan hasrat isterinya, Norhayati Abdullah, 39, untuk dipertemukan dengan ahli keluarga sebelah isterinya di sana memandangkan anak mereka itu dilahirkan di Malaysia.
   
"Saya menghantar isteri dan anak saya yang berusia setahun setengah ketika itu ke Medan dan selepas memastikan mereka selamat sampai ke kampung, saya pulang ke Melaka dan membiarkan mereka di sana," katanya ketika ditemui di Taman Seribu Bunga, Ayer Keroh, di sini hari ini.
   
Katanya selepas seminggu isterinya berada di sana, isterinya mengalami strok akibat terjatuh di bilik air.
   
"Saya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan isteri sedang sakit dan dia lebih selesa dijaga oleh keluarganya," katanya.

Zulkifli yang menetap di Felda Air Kangkung, Selandar berkata dia kembali ke Medan melawat isterinya dan cuba untuk membawa Zuliana pulang namun dirayu isterinya untuk dibiarkan di sana menemaninya.
   
Kata Zulkifli, isterinya meninggal dunia 12 Jun lepas dan dia cuba membawa pulang anak perempuannya ke Malaysia, namun gagal kerana visanya sudah tamat tempoh.
   
"Saya hanya melakukan kerja kampung dan mempunyai pendapatan yang kecil pastinya tidak mampu menampung kos untuk membawa pulang Zuliana ke Malaysia.
   
"Namun begitu, saya merasa amat bersyukur dengan keprihatinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana sanggup bertungkus lumus membantu memastikan Zuliana pulang ke pangkuan kami di sini," katanya yang selamat tiba di Melaka pada Selasa lepas.
   
Mohd Ali ketika ditemui berkata, beliau hanya mengetahui akan masalah itu sewaktu menghadiri lawatan Program Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Medan, minggu lepas.
   
"Untuk menyelesaikan masalah itu, kita meminta kerjasama daripada kerajaan Sumatera Utara di sana untuk membantu, dengan hubungan baik yang ada kita akhirnya dapat membawa Zuliana pulang semula ke pangkuan bapanya," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment