Thursday, July 5, 2012

Polis tahan penganggur cuba larikan wang ATM

Polis tahan penganggur cuba larikan wang ATM - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang penganggur dipercayai terlibat dalam cubaan melarikan wang mesin juruwang automatik (ATM) dengan memecahkan skrin mesin tersebut di Bandar Baru Rawang, awal pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di pekan Rawang pada 7.30 malam selepas polis menerima maklumat orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut.
   
"Kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan bank itu pada 7.20 pagi setelah mendapati salah satu daripada mesin ATM di dalam bank itu telah pecah dan terus melaporkan kejadian itu kepada pengurus cawangan bank berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Katanya selepas menerima laporan tersebut, polis melancarkan gerakan menjejaki suspek sebelum berjaya menahannya di pekan Rawang.
   
"Suspek ditahan bersama sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai kereta curi," katanya.

Siasatan lanjut juga mendapati suspek tersenarai sebagai individu yang dikehendaki polis bersabit kesalahan Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan serta melakukan perbuatan lucah dan Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan.
   
Abdul Rahim berkata polis juga menyiasat pembabitan suspek dalam dua kejadian pecah mesin ATM yang berlaku sehari sebelum itu, iaitu di Public Bank, Taman Jati, Rawang dan Maybank Bandar Baru Rawang yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment