Wednesday, July 4, 2012

Pinda Perlembagaan jika laksana hudud


Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
SHAH ALAM - Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan ataupun membatalkan Akta Mahkamah Syariah jika mahu membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, mengikut akta berkenaan yang dipandu Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan agama Islam dan penganutnya di negeri masing-masing.
Namun, bidang kuasa yang dibenarkan bagi undang-undang syariah adalah terhad kepada penganut Islam sahaja dan juga kesalahan yang melibatkan hukum syarak.
"Undang-undang syariah yang boleh digubal dan dilaksana di peringkat negeri tidak melibatkan kesalahan yang di luar ruang lingkup hukum-hakam agama Islam.
"Misalnya apabila berlaku sesuatu kes jenayah yang ada peruntukannya dalam Kanun Keseksaan, maka peruntukan mengikut Kanun Keseksaan perlu diguna pakai," katanya.
Menurutnya, kuasa diberi kepada negeri berkaitan undang- undang jenayah terhad dan hukuman mengikut undang-undang syariah juga terhad.
"Mahkamah Syariah hanya membicarakan kes yang hukuman penjaranya tidak melebihi tempoh tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak lebih daripada enam kali.
"Bagi kes jenayah yang hukumannya lebih daripada itu, ia berada bawah kuasa Persekutuan. Jadi untuk laksana hudud, ia memerlukan pindaan Perlembagaan," katanya.
Tanpa pindaan Perlembagaan, kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang menggubal undang- undang berasaskan hudud dan diluluskan Dun sekalipun, tidak akan dapat menguatkuasakannya.
"Sebagai contoh, Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Terengganu, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003, sampai sekarang masih belum dapat menguatkuasakan undang-undang itu," katanya.
Bagaimanapun kata Nik Ahmad Kamal, Kerajaan Negeri masih boleh melaksanakan hudud tanpa meminda Perlembagaan iaitu membatalkan Akta Mahkamah Syariah yang mengehadkan peruntukan hukuman enakmen syariah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Adun Kemelah, Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mahu negeri itu jadi negeri pertama di negara ini melaksanakan undang-undang hudud.
Apa pun kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang telah mewartakan undang-undang syariah berasaskan hudud masih boleh meneruskan pelaksanaannya, namun pesalah yang ditangkap boleh mempersoalkan undangundang itu di Mahkamah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment