Monday, August 6, 2012

Israel halang 4 menteri


       
RAMALLAH: Israel semalam enggan membenarkan beberapa Menteri Luar Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) daripada memasuki Tebing Barat untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi kumpulan itu.

Seorang pegawai kanan Palestin yang enggan namanya disiarkan berkata, Israel enggan membenarkan Menteri Luar Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba memasuki Tebing Barat.


Keempat-empat negara berkenaan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Yahudi itu.

Seorang pegawai kanan Zionis mengesahkan langkah itu. “Keputusan diambil untuk menghalang wakil diplomatik beberapa negara yang tidak mengiktiraf Israel daripada menyeberang sempadan Israel.


“Negara berkenaan ialah Cuba, Algeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh,” katanya.


Algeria sebelum ini memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Palestin bahawa ia tidak akan menghantar perwakilan ke mesyuarat Menteri Negara-Negara Berkecuali di Ramallah itu bagi mengelak masalah politik di sempadan yang dikuasai rejim Zionis.


Tiga belas menteri luar dari Negara-Negara Berkecuali yang menganggotai Jawatankuasa Palestin bermesyuarat di Ramallah semalam bagi menyokong rancangan palestin menaik taraf keanggotaannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila Perhimpunan Agung badan dunia itu berlangsung bulan depan.


Langkah itu yang dijangka mendapat sokongan penuh daripada 120 anggota NAM apabila ia bermesyuarat di Teheran hujung bulan ini, ditentang oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Bercakap kepada wartawan di Ramallah sebelum ini, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki berkata, ketibaan menteri berkenaan sudah diselaraskan dengan Israel, Jordan dan Mesir.


“Logistik untuk membawa mereka masuk bukan senang lebih-lebih lagi beberapa negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak boleh masuk ke Tebing Barat menerusi sempadan negara Yahudi itu,” katanya.


Jawatankuasa Palestin terdiri daripada Menteri Luar Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Cuba, Algeria, Mesir, Jordan, Afrika Selatan, Zimbabwe, Zambia, Senegal, Colombia dan India.


Biasanya, sesiapa yang melawat wilayah Palestin hanya dapat sampai ke sana melalui jalan udara ke Tel Aviv dan kemudian memandu melalui Israel untuk sampai ke Ramallah atau tiba melalui sempadan dikuasai Israel dengan menyeberang dari Jordan. - AFP

No comments:

Post a Comment