Anak hilang kirim surat, penantian enam tahun terjawab
Gambar terbaru Munirah dan anak lelaki yang dikatakan berusia tiga bulan turut dikirim kepada keluarga.
Anak hilang kirim surat, penantian enam tahun terjawab
Abdul Hamid menunjukkan surat yang diterima dari Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia kepada Tajul (kanan) yang berkunjung ke rumahnya kelmarin.
SUNGAI PETANI - “Alhamdulillah penantian kami selama enam tahun akhirnya terjawab apabila Munirah mengirimkan sepucuk surat menjelaskan kedudukannya kini berada di Indonesia dalam keadaan selamat,” demikian luahan Abdul Hamid Mat, 50, dari Kampung Nelayan Tanjung Dawai.

Munirah anak ketiga dari lima beradik yang dipercayai hilang sejak enam tahun lalu dipercayai terikut pengaruh teman lelakinya.
Abdul Hamid berkata, sepanjang tempoh itu keluarganya tidak henti-henti mendoakan agar anaknya, Munirah dipanjangkan umur dan sentiasa berharap dapat berjumpanya suatu hari nanti walaupun tiada sebarang berita selepas menghantar satu khidmat pesanan ringkas pada 2007 mengatakan dia berada di Batam, Indonesia.

Bagaimanapun, surat yang diterimanya bertarikh 8 Ogos lalu dengan setem Indonesia tiga hari lalu menjawab persoalannya selama ini.

“Kami bersyukur dan percaya kandungan isi surat ditulis oleh anak yang paling dirindu keluarga.
“Dalam surat itu ada menjelaskan dia sudah berkahwin dan memiliki seorang bayi lelaki berusia tiga bulan selain meminta maaf dengan tindakan berkenaan. Dia juga ada mengirimkan gambar terbaru dan bayinya.

“Muni juga ada memberitahu bahawa dia memerlukan wang untuk pulang ke Malaysia dan meminta keluarga mengirimkan duit melalui Bank Rakyat Indonesia (BRI), selain memerlukan Mykad yang berada dalam simpanan keluarga dihantar melalui pos ke alamat di Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia.
“Kami ada cuba hubungi nombor telefon yang diberikan namun ia tidak diaktifkan dan akaun nombor yang diminta untuk memasukkan duit pula menggunakan nama individu lain,” katanya.

Abdul Hamid berkata, keluarga bagaimanapun khuatir dengan keadaan itu kerana bimbang sekiranya Munirah dikawal pihak tertentu.
Kisah kehilangan Munirah juga pernah disiarkan Sinar Harian 10 Julai tahun lalu.
Terdahulu, ibunya, Robeah Hamid, 50, berkata, dalam kejadian April 2006, Munirah yang ketika itu berusia 16 tahun dan masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Badong, Singkir, keluar dari rumah jam 6.30 pagi.
“Namun, sejak hari itu, dia tidak pernah pulang ke rumah sehinggalah sekarang,” katanya.

Difahamkan, pada hari kejadian, keluarga dimaklumkan pihak sekolah, Munirah langsung tidak masuk ke kelas.

Laporan polis berhubung kejadian dibuat keluarga selepas menyedari kehilangannya.

Keluarga yang bimbang dengan keadaan Munirah merayu mana-mana pihak yang boleh membantu menyelamatkan anak mereka dari terus berada dalam kesusahan.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kelab Putera 1Malaysia yang berpengalaman mengendalikan kes berkenaan.

“Saya akan menghantar surat kepada Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Rahim untuk tindakan selanjutnya yang boleh membantu keluarga ini,” katanya.

Kelab Putera 1Malaysia sering membantu rakyat negara ini yang dilaporkan terkandas di Indonesia dan beberapa negara lain.