Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR - DAP menyatakan isu hudud yang diperjuangkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak konsisten sebelum dan selepas beliau tidak lagi memegang jawatan itu.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata ketika Nasharudin menjadi Timbalan Presiden Pas, beliau akur dengan pendirian DAP yang tidak memasukkan hudud dalam dasar Pakatan Rakyat (PR).
Menurutnya, pendirian bekas Timbalan Presiden Pas itu yang memperjuangkan hudud timbul selepas beliau tidak lagi memegang jawatan itu.
"Kita rasa pelik sedikit, sebelum ini semasa beliau jadi Timbalan Presiden Pas, beliau tidak ada masalah dengan pendirian DAP.
"Tapi bila beliau sudah tidak lagi pegang jawatan itu, beliau mula gesa kita untuk terima hudud dan mengapa sekarang ada pula masalah dengan pendirian kita mengenai hudud, dan kita kena bersikap konsisten," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Semalam, DAP dikatakan sebulat suara menolak hudud.
Guan Eng menegaskan hukum hudud bukan dasar pakatan pembangkang.
"Dalam pakatan pembangkang, mana-mana parti boleh mempunyai pandangan yang berbeza tetapi hudud tidak berbangkit langsung sebagai dasar kita dan perkara itu jelas.
"Namun, kerjasama ini berdasarkan platform sama yang telah digariskan dengan jelas sekali," katanya.
Justeru Nasharudin menggesa DAP supaya memohon maaf diatas kenyataan yang dikeluarkan oleh parti itu.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pendirian mengenai hukum hudud itu adalah konsisten dan tidak mempunyai sebarang perubahan.
Tambahnya, Nasharudin sepatutnya menanyakan pendirian hudud itu kepada Umno.