Monday, September 17, 2012

Peniaga dakwa gerai bakal diroboh tanpa alasan kukuh



KUALA LUMPUR 16 Sept. - Sekumpulan peniaga di Jalan Mergastua, Kepong di sini berkumpul bagi memembantah tindakan Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping yang didakwa sengaja sengaja menutup periuk nasi mereka.
Dakwa mereka, Poh Ping telah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar merobohkan gerai mereka atas alasan mengganggu lalu lintas dan melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Penjaja-penjaja Pasar Metro Prima, Datuk Edrus Abdullah yang mewakili peniaga tersebut berkata, apa yang menimbulkan tanda tanya gerai tersebut mempunyai lesen sementara dan hanya tamat pada Oktober ini.
"Kalau peniaga berkenaan tidak mengikut peraturan, bagaimana boleh mendapat lesen sementara? Saya percaya Poh Ping mempunyai masalah peribadi dengan peniaga terbabit yang mendorong beliau bertindak sedemikian," kata Edrus dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke gerai berkenaan di sini.
Jelasnya, sejurus mengetahui gerai berkenaan bakal diroboh, peniaga berkenaan merayu kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan melalui persatuan tersebut supaya mempertimbangkan tindakan DBKL daripada merobohkan gerai itu.
"Menteri telah pun menerima rayuan tersebut dan memberi tempoh selama enam bulan kepada peniaga untuk memastikan gerainya tidak menghalang lalu lintas dan mendapatkan lesen tetap.
"Namun, Poh Ping tetap dengan pendiriannya supaya DBKL merobohkan gerai itu secepat mungkin. Tindakannya menyebabkan peniaga tersebut kini tidak lagi menjalankan perniagaannya dan mengalami masalah kewangan," ujarnya.
Tindakannya itu juga, jelas Edrus, seolah-olah mengenepikan kuasa yang ada pada seorang menteri.
Oleh itu menurutnya, persatuannya menggesa Poh Ping agar memohon maaf kepada peniaga terbabit dan Saravanan dalam tempoh tujuh hari.
"Jika beliau gagal berbuat demikian, persatuan ini akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
"Beliau sebagai pemimpin kecil di kawasan ini sepatutnya membantu mereka yang dalam kesusahan bukannya menindas tanpa sebab dan menutup periuk nasi peniaga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment