Datuk Norizan Ali
Datuk Norizan Ali
AMPANG - Polis mengambil keterangan daripada 28 individu bagi membantu siasatan berhubung kes Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali, 41, yang parah ditikam dalam kejadian berhampiran rumahnya di Taman Dagang, Ampang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, keterangan tersebut diambil daripada kakitangan, keluarga, rakan dan jiran yang ternampak insiden itu.

“Polis bagaimanapun belum mengambil keterangan daripada mangsa kerana beliau masih dirawat. Mangsa kini ditempatkan di wad Hospital Ampang dan keadaannya stabil,” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak boleh membuat andaian kerana laporan siasatan belum lengkap.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Norizan, dikatakan baru sahaja keluar dari kereta yang diparkir kira-kira 20 meter dari rumahnya sejurus pulang daripada menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan berhampiran, sebelum didatangi dua lelaki dipercayai warga asing yang kemudiannya menikam mangsa.

Tikaman tersebut menyebabkan Norizan cedera parah di perut dan jari tangan.

Mangsa kini masih dirawat di Hospital Ampang.