Monday, October 1, 2012

Serangan meningkat di selatan Thailand



Bangkok: Enam orang terbunuh dan 44 lagi cedera di selatan Thailand akibat letupan bom dan tembakan selepas keganasan meningkat semula di rantau bergolak itu sejak kelmarin.

Dalam keganasan terbaru semalam, seramai 17 orang, seorang daripada mereka anggota polis, cedera apabila dua bom tangan M79 dibaling ke sebuah pesta tempatan di daerah Bacho, Narathiwat. Polis berkata, bom tangan itu dilontar ke arah sekumpulan pekedai yang menjual barangan tempatan di kawasan bertentangan balai polis Bacho pada 7.20 malam.
Kelmarin, lima orang ditembak mati dalam keganasan di tiga wilayah majoriti penduduk Islam di selatan negara itu yang dilanda konflik selama lapan tahun meragut beribu-ribu nyawa.

Di Pattani, penyerang tidak dikenali menembak mati anggota polis Islam, warga tua Buddha berusia 74 tahun dan seorang sukarelawan keselamatan dalam serangan berasingan.

Kejadian tembakan di Yala menyasarkan pasangan suami isteri Buddha dalam perjalanan ke pasar, menyebabkan wanita itu meninggal dunia dan suaminya cedera.

Baling bom tangan
Kejadian sama di Narathiwat menyaksikan seorang lelaki dan isterinya - kedua-duanya sukarelawan keselamatan yang dalam perjalanan ke sesi latihan menembak - ditembak, menyebabkan wanita itu terbunuh manakala suaminya cedera.

Selain itu, suspek militan membaling dua bom tangan ke arah pasar sibuk, menyebabkan kecederaan kepada 23 pengunjung yang cedera ringan.

Di Yala, seorang remaja lelaki Islam berusia 18 tahun ditembak mati di Yala, manakala seorang wanita dan anak perempuannya juga diserang dan dicederakan oleh kumpulan bersenjata dalam kejadian berasingan.

Perjuangan menuntut kuasa autonomi lebih besar menggegarkan selatan Thailand sejak 2004 meragut lebih 5,300 nyawa penduduk Buddha dan Islam disebabkan serangan bom dan tembakan.

Pemisah tembak kedai

Dalam reaksi kepada peningkatan keganasan terbaru, pihak berkuasa Thai berkata mereka memperbaharui rundingan damai dengan pemimpin pemisah.

Serangan terbaru berlaku lebih seminggu selepas sekurang-kurangnya enam maut dan lebih 40 cedera apabila bom kereta meletup di kawasan beli belah sibuk di bandar Sai Buri, Pattani.
AFP

No comments:

Post a Comment