Jambatan tunggu mangsa
Abd Hamid melalui jambatan yang hampir runtuh.
KUALA PILAH – Ibarat retak menanti belah. Begitulah keadaan jambatan di Kampung Tumang, Johol yang hampir runtuh.

Malah keadaan itu juga menimbulkan kebimbangan berikutan ia merupakan laluan utama kepada lebih 200 penduduk, dekat sini.

Penduduk, Abd Hamid Jais, 60, berkata, kawasan tebing berhampiran jambatan itu sudah dipasang batu sangkar pada bulan lalu bagi mengelakkan hakisan akibat hentaman air sungai ketika hujan.

"Namun langkah itu tidak berkesan apabila batu sangkar berkenaan turut rosak apabila dihentam arus sungai," katanya.

Menurutnya, kini apabila musim hujan, tanah di bawah jambatan sudah mendap mendap sekali gus menyebabkan jambatan itu senget dan retak.

"Jambatan ini pernah dibaiki dengan menambah tanah di bahagian yang rosak. Namun, apabila hujan tanah itu mendap lagi.

“Sebelum ini, kerosakan pada jambatan ini tidak terlalu teruk, tetapi hujan lebat yang berlaku pada 21 Oktober lalu merisaukan kami,” katanya.

Sementara itu, Amran Daud, 41, berkata, penduduk mengambil inisiatif meletakkan beberapa papan di kawasan mendapan supaya jambatan boleh digunakan sementara waktu.

“Laluan ini sering digunakan penduduk selain pemandu lori yang membawa keluar hasil getah.

"Sepatutnya lori tidak boleh masuk ke kampung ini kerana laluan ini terhad kepada kenderaan seberat lima tan sahaja,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, kini penduduk terpaksa menanggung risiko dan berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan kerja baik pulih.

Katanya, selain masalah jambatan, jalan di kawasan kampung itu juga sudah rosak dan berlubang.

Sementara itu, difahamkan pihak berkaitan sudah berbincang dan bersetuju untuk membaiki jambatan serta jalan kampung tersebut melalui peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri.