Tuesday, October 30, 2012

Tentera Syria salahkan kumpulan pemberontak



BEIRUT 29 Okt. - Tentera Syria menuduh pemberontak 'memecah belah dan memusnahkan' negara ini dan secara terang melanggar perjanjian gencatan senjata sempena Aidiladha, lapor stesen televisyen tempatan hari ini.
Perjanjian yang sepatutnya dipatuhi bermula Jumaat lalu, sebaliknya dicabuli dan mengakibatkan hampir 500 orang terkorban sepanjang tempoh itu.
"Kumpulan pengganas ini harus ditentang dan kekerasan patut digunakan bagi menghapuskan mereka bagi menyelamatkan negara daripada keganasan," menurut siaran itu, memetik kenyataan tentera Syria, pada hari terakhir gencatan senjata yang sepatutnya tamat malam ini.
Tentera dan pemberontak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian perdamaian sementara yang dicadangkan Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi.
Di Seoul, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon hari ini melahirkan kecewaannya atas kegagalan gencatan senjata di Syria.
"Kita tidak boleh membiarkan lebih banyak pertumpahan darah," katanya sambil meminta Majlis Keselamatan PBB, negara serantau dan semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui.
Dalam situasi terbaru di Syria, pesawat pejuang Syria meneruskan serangan ke atas kubu kuat pemberontak di kawasan kediaman di pinggir Damsyik hari ini.
Pesawat tentera menjadikan Harat al-Shwam, kawasan kediaman terletak beberapa kilometer di timur ibu negara ini sebagai sasaran, yang gagal ditawan tentera Presiden Bashar al-Assad sejak minggu lalu.
Sementara itu di Besaslan, Turki, agensi berita tempatan melaporkan, tentera Turki kembali melancarkan serangan balas ke atas Syria hari ini, selepas satu tembakan rambang dari negara itu mengenai kawasan Turki.
Serangan itu didakwa berlaku kira-kira 300 meter dari sempadan Turki berhampiran perkampungan Besaslan, namun tiada kecederaan dilaporkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121030/lu_07/Tentera-Syria-salahkan-kumpulan-pemberontak#ixzz2AlnMpB4s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment