Wednesday, October 31, 2012

Saintis hasil alat baharu pengesan HIV



LONDON 30 Okt. - Sekumpulan saintis dari Kolej Imperial di sini, berjaya menghasilkan sejenis alat pengesan virus HIV yang 10 kali ganda lebih sensitif berbanding kaedah sedia ada dan hanya memerlukan kos yang kecil.
Alat tersebut menggunakan teknologi nano bagi membolehkan keputusan dilihat menggunakan mata kasar berdasarkan warna cecair sama ada merah atau biru.
Teknik terbaru itu membolehkan pesakit yang berisiko menghidap HIV dikesan, sekali gus memudahkan rawatan awal diberikan dalam usaha menyelamatkan pesakit.
Ketua penyelidik, Molly Stevens (gambar) berkata, walaupun ujian pantas mengesan HIV menggunakan sampel air liur sudah digunakan, namun hanya boleh memberi keputusan tepat seandainya virus itu sudah banyak di dalam tubuh pesakit.
“Kebanyakan kaedah ujian ketika ini juga boleh dikatakan memerlukan kos yang tinggi terutama untuk dilaksanakan di negara miskin," katanya.
Merujuk data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 23 juta penduduk di negara-negara di kawasan sub-Sahara, benua Afrika hidup dengan HIV, daripada keseluruhan 34 juta penduduk dunia yang mempunyai virus itu.
Jelas Stevens, ujian itu juga boleh diubahsuai bagi mengesan penyakit lain seperti tibi, malaria dan penyakit alahan bakteria dan serangga seperti sepsis dan leishmaniasis.
Alat tersebut berfungsi melalui ujian serum, dengan menggunakan cecair jernih yang diperolehi daripada sampel darah, dimasukkan ke dalam bekas untuk mengesan kehadiran sejenis kandungan yang dipanggil p24.
Sekiranya terdapat p24, partikel nano emas kecil akan berkumpul dalam bentuk ganjil menukar cecair menjadi warna biru, manakala keputusan negatif pula memisahkan partikel itu menjadi bentuk bebola yang menghasilkan warna merah.
Stevens dan rakannya, Roberto de la Rica merancang bekerjasama dengan pertubuhan tidak berkepentingan bagi mengedar alat tersebut di negara miskin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121031/lu_06/Saintis-hasil-alat-baharu-pengesan-HIV#ixzz2ArfhAsSL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment