Saturday, October 27, 2012

Jadi ‘ibu bapa’ 18 cucu

KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KLANG: Dia layak digelar ‘nenek super’ kerana dalam usia menjangkau 74 tahun dan kudrat yang terbatas, wanita itu masih berupaya menjaga 18 cucu berusia satu hingga 17 tahun.
Tujuh daripadanya cucu kandungnya yang dijaga sejak 2002 selepas dua anak lelakinya meninggal dunia, manakala selebihnya anak fakir miskin serta anak tidak sah taraf yang dijadikan cucu angkat.

Hasnah Mohd Rais atau lebih mesra disapa Opah Hasnah tidak pernah mengeluh kerana perlu memikul tanggungjawab berkenaan yang mungkin tidak mampu dipikul sebilangan orang, apatah lagi warga emas sepertinya.

Menurutnya, cucu dan cucu angkatnya tidak pernah menyusahkannya, malah memberi ketenangan dan menambah keceriaan dalam keluarga.

Biarpun tidak ada pendapatan, Opah Hasnah tidak terlalu risau memikirkan soal wang bagi menampung perbelanjaan menyara semua cucunya.

“Opah tak risau pasal duit. Alhamdulillah, duit sentiasa ada. Itu semua kerja Allah. Gaji Opah pun Allah yang bayar. Macam-macam bantuan Opah terima. Ada mahasiswa datang untuk mengecat rumah Opah, ada pihak yang beri langsir, perabot, peralatan rumah dan barangan elektrik,” katanya yang tidak mengenakan bayaran bagi mengasuh anak golongan kurang berkemampuan.


Kerja mengasuh sebati dengan dirinya kerana sejak kecil dia bertanggungjawab menjaga adiknya. Anak sulung daripada 11 beradik ini terpaksa menguburkan niat menyambung pelajaran kerana mahu membantu ibu menjaga adiknya.

“Opah tak pernah kesal tidak sambung pelajaran. Walaupun kehidupan kami sekeluarga tak begitu susah kerana ayah mengusahakan kebun sendiri, kami tidak dibiasakan dengan hidup senang.

“Ayah mendidik kami berdikari dan jika mahukan wang, Opah perlu ke kebun kutip kelapa dan menjualnya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Taman Ros, Bukit Kuda, di sini.

Dia juga mengambil alih tanggungjawab sebagai ibu dan bapa menjaga empat anak selepas suaminya, Talaha Daud, meninggal dunia pada 1980-an dengan bekerja di ladang dan menjual kuih.

Dalam mengasuh cucu, seperti ibu muda, Opah Hasnah perlu bangun malam membancuh susu untuk dua cucunya yang berusia kira-kira setahun, menyuapkan makanan dan memandikan mereka setiap hari.

“Setiap hari Opah tidur jam 10 atau 10.30 malam dan bangun jam 2.30 pagi. Jadi ketika bayi bangun malam minta susu, Opah memang berjaga. Biasanya mereka bangun dua kali untuk minum susu,” katanya.

Ada antara cucu angkatnya diserahkan ibu kandung mereka, selain diletakkan di depan pintu rumah ketika masih bayi.

“Opah sayang semua cucu Opah. Ada orang menawarkan RM10,000 untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, tapi Opah tidak sanggup menyerahkannya. Biarlah susah senang mereka bersama Opah,” katanya.

Setiap bulan, sebanyak RM1,000 diperuntukkan bagi membayar tambang bas. Perbelanjaan makan pula tidak terlalu membebankan kerana cuma dua kampit beras seberat 10 kilogram digunakan.

Antara perkara yang ditekankan dalam mendidik ialah mengingatkan cucunya supaya menunaikan solat, mengajar mengaji al-Quran dan membaca buku.

“Ada cucu angkat Opah yang daftar lewat kelahiran, menyebabkan dia tidak dapat bersekolah. Untuk memastikan dia tidak ketinggalan, setiap hari Opah mengajar membaca dan kini dia boleh membaca dengan baik,” katanya.

Anak perempuannya dikenali sebagai Wan berkata, ibunya memang sebati dengan tugas mengasuh dan sanggup bersusah-payah menjaga anak kecil.

“Dulu keadaan memang susah. Saya bekerja kilang dengan gaji RM500. Setiap bulan, sebanyak RM400 saya berikan kepada ibu untuk membesarkan cucunya dan RM100 untuk kegunaan sendiri. Ketika susah, mereka (cucu) pernah makan nasi berlauk kicap.

“Apapun, saya percaya Allah yang memberikan rezeki. Lama kelamaan, kehidupan berubah dan ibu menerima banyak bantuan bagi menguruskan cucu dan cucu angkatnya,” katanya.

Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, ibunya sanggup turun naik bas untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi memohon sijil kelahiran daftar lewat lapan cucu angkatnya.

“Menjelang Aidilfitri, ibu membawa semua cucunya menaiki bas untuk membeli baju raya. Cucu yang besar mendukung yang kecil. Mereka seperti adik-beradik dan tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment