Tertekan rumah sering dikunjungi pihak berkuasa
Kala menunjukkan laporan polis dibuat sambil memegang gambar anak keempatnya.
HULU BERNAM - Seorang ibu tertekan dan tidak tahan dengan kehadiran pihak berkuasa yang didakwa sering mengunjungi rumahnya pada waktu pagi.

Dia dikenali sebagai Kala, 46, berkata, keadaan itu berlarutan sejak 2009 hanya kerana anaknya didakwa terlibat dengan kegiatan pecah rumah dan penjualan dadah.

“Sebelum ini kami tinggal di Ladang Kalumpang dan berpindah namun sehingga sekarang pihak berkuasa masih datang dengan alasan sama tanpa sebarang bukti kukuh.

“Keluarga kami tidak tahan dengan kehadiran mereka kerana bukan saja mengganggu tidur tetapi turut tertekan kerana dituduh bermacam-macam,” katanya, semalam.

Difahamkan, anak keempatnya, berusia 22, pernah ditangkap dan dilokap tiga kali atas dakwaan kesalahan tersebut dan disebabkan tindakan itu dia diberhentikan kerja.

Manakala, anak kelimanya, berusia 20, juga pernah dilokap sekali atas dakwaan mengugut melalui telefon bimbit dan digari di satu kawasan dalam taman perumahan didiami kerana dakwaan tidak munasabah.

Bekas pekerja ladang itu berkata, bukan dia sahaja, malah anaknya jelas trauma dengan keadaan itu kerana mendakwa disakiti ketika berada di lokap selama hampir sebulan.

“Suami mengalami masalah mental sejak terbabit kemalangan pada 2007 dan saya pula menghidap jantung berlubang serta dinasihatkan tidak membuat kerja berat bagi mengelakkan tekanan selepas dua kali menjalani pembedahan.

“Tapi, bagaimana saya mahu mengelak tekanan jika keluarga kami diperlakukan begini,” katanya.

Kala berkata, sejak lebih tiga tahun masalah itu berlaku hanya Khamis lalu dia berkesempatan membuat laporan polis disebabkan masalah tertentu.
“Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang bukti untuk menuduh pihak berkuasa dan saya juga tidak mampu mengambil peguam kerana tahu bayarannya tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, terdapat banyak kes pengawasan dilakukan dalam daerah berkenaan.

Menurutnya, dalam kes membabitkan aduan berkenaan, beliau turut mengesahkan anak pengadu adalah Orang Kena Pengawasan (OKP).
Katanya, polis ada menerima surat daripada pengadu dan penjelasan dibuat mengenainya.

“Polis ada kuasa membuat pengawasan terhadap mana-mana OKP. Jadi apa yang berlaku pada pengadu adalah sebahagian daripada tindakan dan tugas pihak berkuasa,” katanya.