Monday, December 24, 2012

Cabaran Obama gubal akta senjata

Barack Obama
Barack Obama

Insiden pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Rendah Sandy Hook turut mengejutkan Presiden AS, Barack Obama, apabila melibatkan 20 kanak-kanak dan enam dewasa menjadi mangsa.

“Kerajaan tidak boleh bertolak ansur lagi. Insiden seperti ini perlu dihentikan. Kita perlu berubah” katanya ketika ucapan sulung di Rumah Putih sejurus kejadian itu.

Namun, siapakah yang harus dipersalahkan? Remaja bernama Adam Lanza, yang menjadi penembaknya atau kegagalan pentadbiran Obama dalam tangani masalah sosial dan keganasan di negaranya sendiri.

Jika sebelum ini rakyat AS lantang menuduh penduduk Muslim sebagai pengganas dan saling berbunuhan, namun persepsi itu terpalit di wajah mereka sendiri.

Kini pentadbiran Obama mendapat kritikan. Rakyat AS mendesak pentadbirannya melihat semula undang-undang pemilikan, penjualan dan lesen senjata api yang telah dimansuhkan pada 1997.

Kini, Obama merancang penyekatan keganasan menggunakan senjata api.

“Ramai pemilik senjata api mematuhi undang-undang tertentu. Kita wajar menyekat segelintir pihak tidak bertanggungjawab membeli senjata,” katanya.

Selain itu, seramai 40 penduduk Newtown mendesak Senator Richard Blumenthal dan Chris Murphy memperketat peraturan memiliki senjata api.

Senator West Virginia, Joe Manchin  dan Senator Virginia Mark Warner, kedua-duanya dari Parti Demokrat berpendapat, telah tiba masanya kerajaan mengariskan lebih banyak peraturan senjata api.

Pendapat itu juga disokong pemimpin minoriti, Nancy Pelosi dengan menyokong undang-undang itu.

“Kami tidak akan berdiam diri. Melalui tindakan pentadbiran dan perundangan, kita harus menghadkan percambahan senjata dan peluru yang tidak mempunyai tujuan kerana ia hanya membunuh rakyat sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Persatuan Rifel Kebangsaan (NRA) yang ramai diterajui oleh Parti Republikan masih berdiam diri.

Pemimpin Republikan di Senat, Mitch McConnell tidak memberikan sebarang komen mengenai kawalan itu.

Saintis politik dari Universiti George Mason di Fairfax, Virginia, Jeremy Mayer berkata, sikap berdiam diri ini disebabkan mereka adalah rakan sekutu.

“Sebarang komen bakal mencetuskan perbalahan terutama melibatkan sentimen politik memandangkan mereka dari parti yang berlainan,” katanya.

Penduduk serah senjata secara sukarela

Selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Rendah Sandy Hook, seluruh rakyat AS beralih kepada isu pemilikan dan penjualan senjata api. Atas dasar kesedaran dan tanda protes, ratusan penduduk mencadangkan supaya polis di negara terbabit membeli semula senjata yang mereka miliki.

Di Brooklyn, San Francisco, Oakland, Evanston, Ill, dan Baltimore ratusan penduduk berbaris di balai polis untuk menjual senjata mereka. Gereja Mt Ollie Baptist di Brownsville dan gereja St Peters Lutheran di Cypress Hills, Brooklyn menawarkan kepada orang ramai memulangkan secara sukarela segala senjata dimiliki.

Di Prince George County, sebanyak 150 laras senapang diserahkan kepada pihak polis, manakala 160 lagi diserahkan kepada gereja di St Mark Methodist di Laurel.

Di San Francisco dan Oakland, balai polis daerah itu membeli lebih 600 pistol dari penduduk diikuti di Evanston, menjual semula 45 senjata api kepada  pihak berkuasa.

Sementara itu, penganjur program pembelian semula senjata api YouthUp Rising berasa terkilan kerana program itu telah dirancang seminggu sebelum kejadian tersebut.

Presidennya, Olis Simmons berkata, sungguh pun kejadian itu telah berlaku, program pembelian semula dan memulangkan senjata secara sukarela tetap diteruskan.

“Kami mendapat sambutan luar dugaan apabila ramai yang memulangkan senjata mereka secara sukarela berikutan timbul kesedaran dari kejadian yang berlaku di sekolah tersebut,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang menyertai program ini harus dipuji kerana mereka memulangkan senjata ketika waktu punca di mana seluruh AS akan menyambut perayaan Krismas.

Kebiasaannya pada waktu ini akan berlaku kejadian rompakan kerana telah menjadi trend di AS setiap kali menjelang musim perayaan jenayah rompakan akan meningkat,” katanya.

Pada program itu, polis di Baltimore berjaya membeli semula 461 laras senapang pada program yang sama.

No comments:

Post a Comment