Monday, December 24, 2012

Etnik Kachin, tentera bertempur


YANGON 23 Dis. - Pertempuran antara pemberontak etnik Kachin dan tentera Myanmar semakin sengit, menyebabkan penduduk yang ditempatkan di kem pelarian terpaksa menjalani kehidupan yang semakin sukar dan diselubungi ketakutan.
Akhbar Myanmar Times yang memetik sumber pembangkang melaporkan, pertempuran berlaku di pekan Laiza di selatan negeri Kachin, kawasan kubu kuat Tentera Pembebasan Kachin, selain di Pangwa, utara negeri Kachin berhampiran sempadan China-Myanmar.
"Pertempuran berterusan dari hari ke hari. Perkembangan ini mengecewakan kami semua," kata Setiausaha Agung Bersama Majlis Kebangsaan Kesatuan Myanmar yang beribu pejabat di Thailand, U Myint Thane.
Pertempuran di negeri Kachin itu turut menghalang usaha pembaharuan kerajaan pimpinan Presiden Thein Sein untuk menamatkan pemberontakan etnik yang telah berlanjutan sejak negara ini mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1948.
Pemimpin pemberontak Kachin menyalahkan pegawai-pegawai tentera radikal yang melancarkan serangan baharu di negeri itu.
"Kami menerima laporan terdapat lebih 400 tentera berhampiran Laiza dan lebih 500 lagi berhampiran Pangwa," kata Myin Thane.
Pertempuran berlaku setiap hari sejak 13 Disember lalu dengan tentera menggunakan helikopter gempur dan meriam bagi menentang pemberontak Kachin, menurut sumbar pemberontak.
Myanmar Times turut memetik seorang pegawai kumpulan bantuan daripada Konvensyen Baptis Kachin sebagai berkata, beliau bimbang pelarian di kem pelarian berhampiran Pangwa terpaksa berpindah jika pertempuran merebak ke kawasan mereka. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121224/lu_01/Etnik-Kachin-tentera-bertempur#ixzz2FwSHPTo9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment