Monday, December 24, 2012

Supermodel Arab kuasai industri fesyen

Supermodel Arab kuasai industri fesyen
Hanaa Abdesslem dari Tunisia antara model yang menjadi perhatian dalam dunia fesyen Arab. - Foto ihsan BBC
SUPERMODEL yang berasal dari negara Arab kini sudah mula menempa nama dalam industri fesyen dan sekali gus mampu mengubah pandangan dunia terhadap wanita negara itu.

Hind Sahli yang berasal dari Maghribi mula menceburkan diri dalam dunia peragaan sejak dua tahun lalu kini sudah mampu bekerja dengan beberapa nama besar seperti Marc Jacobs, Kenzo dan Vera Wang.

Sahli meletakkan kejayaannya yang dicapainya hari ini adalah berlandaskan dua perkara iaitu “dalam dunia fesyen, mereka sukakan sesuatu yang baru kerana semua yang baru itu adalah bagus."

Bagaimanapun, terdapat tuntutan dari dunia Arab sendiri yang turut merayu kepada Sahli supaya beliau menarik diri dari industri fesyen.

“Pereka baju dan jurugambar mengatakan mereka sukakan kepelbagaian dan budaya kami yang berbeza berbanding dari yang lain.

"Oleh yang demikian, kami boleh menjadi sumber inspirasi kepada mereka dari pelbagai perkara,” tambah beliau dipetik BBC.

Memandangkan Sahli berasal dari budaya konservatif, reaksi ramai terhadap dunia model sebagai pilihan kerjaya dikatakan bercampur-campur.

“Kebanyakannya memberikan reaksi positif. Saya juga ada menerima mesej menerusi Facebook bertanya bagaimana saya boleh memulakan kerjaya sebagai model.

“Setakat ini, saya gembira dengan apa yang saya lakukan,” kata Sahli.

Sehingga kini, bukan Sahli seorang sahaja yang berjaya mengukir nama di pentas peragaan, malah terdapat juga model lain seperti Hanaa Abdesslem dari Tunisia, yang baru sahaja mengikat kontrak dengan syarikat kosmetik terkenal, Lancome.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Wanita Islam United Kingdom (UK) , Shaista Gohir dan beberapa pihak yang berkempen percaya pandangan Barat terhadap wanita Arab masih streotaip, namun dengan kehadiran model-model ini, persepsi ini mampu diubah.

“Ini juga merupakan satu revolusi dan pilihan kerjaya yang agak berani kerana sebelum ini wanita Arab hanya terikat dengan kehidupan tradisional mereka.

“Saya juga merasakan yang media lain turut memandang wanita Arab terlalu tertutup dan tidak berani bersuara jadi. Jadi, dengan gelombang baru ini, dunia mampu melihat sisi berbeza wanita Arab. Saya percaya pilihan kerjaya berani ini juga mampu memberi inspirasi kepada gadis-gadis lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sahli menambah, walaupun kebanyakan saudara maranya sukar menerima pilihannya itu, tetapi ibu bapanya tidak mempunyai masalah, malah mereka yang memberi galakan kepadanya untuk terus menceburi bidang glamor itu.

“Ibu saya sendiri memakai hijab, itu pilihannya sendiri. Ibu bapa saya dan semua umat Islam mengamalkan cara hidup Islam dengan bersolat dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sekarang, pasaran fesyen di negara Arab juga semakin berkembang dan memerlukan model-model seperti Sahli membantu bagi melariskan produk mereka.

Salah satu sebab mereka mahu menggunakan model wanita Arab ialah kerana mahu pengguna atau pembeli tertarik dengan produk yang dipasarkan.

Pengamal fesyen yang juga Pengarah Worth Global Style Network (WGSN), Lauretta Roberts percaya penggunaan model dari Arab sebenarnya mengejutkan dunia fesyen.

“Mereka digambarkan sama saja seperti model dari Eropah tetapi menggunakan cara yang lebih eksotik,” katanya.

Selain itu, Sahli sendiri bangga dengan perubahan yang mula diterima ramai ketika ini.

“Hakikatnya saya hanya bekerja dan saya juga mahu anak-anak gadis Arab lain juga berani untuk mencuba dan melakukan sesuatu yang mereka gemari,” ujarnya lagi.



* Dipetik dari laporan BBC

No comments:

Post a Comment