Saturday, December 22, 2012

Hizbullah ada 50,000 peluru berpandu



2012/12/22
PBB: Wakil Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Majlis Keselamatan mengutuk Hizbullah kerana menambah senjata dalam simpanannya khususnya peluru berpandu yang boleh sampai ke negara Yahudi itu.

Malah, beliau menuduh Hizbullah mempunyai berpuluh ribu peluru berpandu.
Dalam suratnya kepada 15 anggota badan itu, duta Israel ke PBB, Ron Prosor berkata penambahan senjata itu melanggar sekatan senjata PBB.

Prosor juga memberitahu, letupan di bandar selatan Lubnan di Taif Harfa pada Isnin lalu berlaku di depoh senjata.

“Letupan itu menawarkan satu lagi peringatan kepada dunia berhubung bahaya kepada kami di Lubnan,” tulisnya.

Langgar resolusi

“Hizbullah jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan 1701. Ia kini membangunkan persenjataannya kepada tahap paling tinggi dengan mengumpul 50,000 peluru berpandu di Lubnan.
“Ia lebih banyak berbanding kebanyakan anggota NATO. Peluru berpandu ini boleh sampai ke seluruh Israel dan lebih jauh lagi,” katanya.

Satu sumber keselamatan Lubnan berkata, letupan Isnin lalu disebabkan sebuah roket yang dilepaskan ke dalam Lubnan ketika perang 2006 Hizbullah dengan Israel namun tidak meletup ketika impak.

Israel sekian lama mengadu bahawa sekatan senjata PBB ke atas Lubnan tidak berjaya.

“Saya menggesa Majlis Keselamatan dan semua anggota bertanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk menghantar satu isyarat jelas bahawa penambahan pantas senjata Hizbullah tidak akan ditolak ansur - disokong dengan langkah konkrit di darat,” katanya.

“Langkah pertama ialah memastikan Hizbullah diletakkan dalam senarai pemerhati keganasan di semua sudut dunia termasuk Kesatuan Eropah,” kata Prosor.

Isnin lalu, wartawan Reuters di Lubnan berkata, anggota Hizbullah, askar Lubnan dan kira-kira 50 anggota tentera pengaman PBB (UNIFIL) berada di tapak letupan namun dihalang daripada mendekati kawasan itu. - REUTERS

No comments:

Post a Comment