Saturday, December 22, 2012

Rang undang-undang haramkan arak di Indonesia



JAKARTA 21 Dis. - Satu rang undang-undang mencadangkan pengharaman terhadap penjualan, pengeluaran dan pengambilan minuman beralkohol di Indonesia adalah antara 70 rang undang-undang penting yang dijadual dibahaskan oleh Dewan Perwakilan Indonesia tahun depan.
Cadangan pengubalan undang-undang itu, didraf oleh parti Islam tertua di negara ini, Parti Persatuan Pembangunan (PPP) akan memperkenalkan penalti berat bagi pengambilan semua minuman beralkohol.
Mereka yang didapati minum alkohol bakal dikenakan hukuman penjara dua tahun, pengedar berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun manakala pengeluar bakal dikenakan penjara maksimum 10 tahun.
"Ini merupakan pengharaman muktamad, bukan sekadar cubaan untuk mengawal pengeluaran, pengedaran dan pengambilan alkohol," kata Arwani Thomafi, Setiausaha PPP di Dewan Perwakilan seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Globe pada Jumaat.
Arwani berkata parti memperkenalkan rang undang-undang itu untuk membawa negara “seiring dengan garis panduan agama" serta untuk menangani impak negatif pengambilan alkohol secara berlebihan terhadap kesihatan seseorang.
Beliau berkata kawasan tumpuan pelancong dan “etnik tertentu" mungkin dikecualikan daripada larangan itu, bagaimanapun beliau tidak menjelaskan secara khusus kawasan pelancongan dan kumpulan etnik yang akan dibenarkan berbuat demikian di bawah larangan itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121221/lu_14/Rang-undang-undang-haramkan-arak-di-Indonesia#ixzz2Fk8TtdSx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment