Saturday, December 22, 2012

Penentang selar usaha damai Iran




         
BEIRUT: Kumpulan penentang Syria menolak cadangan Iran untuk mengadakan rundingan di negara itu dan menyifatkannya sebagai langkah terakhir Teheran untuk menyelamatkan rejim Presiden Basyar al-Assad.

“Sebaik saja tentera Pembebasan Syria menang satu demi satu pertempuran dan juga dalam politik, rejim dan sekutunya akan cuba melakukan usaha politik yang lemah dan sudah terlambat,” kata Pakatan Kebangsaan.
Kumpulan itu berkata, cadangan Iran adalah contoh usaha terdesak untuk selamatkan Basyar dan rejimnya.

Teheran yang menjadi sekutu paling kuat rejim itu menyenaraikan secara terperinci pelan damai enam perkara Ahad lalu, menurut laporan media Iran.


Rancangan itu tidak menyatakan kejatuhan rejim itu tetapi meminta ‘semua bentuk keganasan dihentikan serta-merta dan tindakan ketenteraan diletakkan di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”


Ia turut meminta sekatan terhadap Syria dibatalkan, memulakan dialog kebangsaan, penubuhan perubahan kerajaan dan pilihan raya bebas.

Pakatan Kebangsaan Syria berkata, cadangan Iran itu kelihatan seperti mementingkan keselamatan orang ramai, perpaduan dan kemerdekaan rakyat Syria.

“Tetapi, sekiranya Iran ikhlas, ia mampu membantu rakyat Syria mencapai tuntutan dan kepentingan mereka.

“Iran boleh melakukanya dengan menghentikan sokongan terhadap rejim Basyar, baik dari segi politik, ketenteraan dan ekonomi dengan mendesak rejim itu meninggalkan negara ini secepat mungkin,” kata blok pembangkang itu. - AFP

No comments:

Post a Comment