Sunday, December 23, 2012

Iran janji bantu pelarian

DUBAI: Iran merancang menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang berlindung di kem pelarian Syria selepas kawasan itu ditawan pejuang antikerajaan baru-baru ini.

Duta Iran ke Syria, Mohammad Reza Sheibani, berkata bantuan itu akan dihantar ke Yarmouk yang terletak tidak jauh dari Damsyik.


“Kementerian Luar Iran dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah akan menghantar bantuan kemanusiaan itu ke Yarmouk,” katanya, semalam.

Namun, Mohammad Reza tidak menyatakan bila bantuan berkanan akan mula dihantar. Yarmouk menjadi satu daripada medan perang terbaru dalam pertikaian politik Syria dan menjadi sasaran serangan tentera kerajaan.


Awal minggu lalu, pejuang menguasai kem pelarian di Yarmouk yang padat dengan pelarian Palestin serta penduduk Syria. Menurut kumpulan penentang kerajaan Syria, mereka sedang menjalankan rundingan untuk menyerahkan semula kem pelarian itu kepada pejuang anti-Bashar al-Assad yang berasal dari Palestin. Kira-kira 500,000 warga Palestin dan keturunan mereka menjadi penduduk Syria ketika ini.


Bagaimanapun, tidak semua mengambil sikap menentang Bashar.

Sebahagian daripada mereka menjadi penyokong Presiden Syria dalam pertikaian yang berlaku kini.


Iran adalah antara negara penyokong kuat Bashar sejak sebahagian daripada rakyat Syria bangkit dalam cubaan menggulingkan presiden berkenaan 21 bulan lalu. Pada masa sama, Iran adalah antara negara yang kuat memperjuangkan nasib Palestin. - Reuters

No comments:

Post a Comment