Sunday, December 23, 2012

Ketegangan berterusan, Naib Presiden Mesir letak jawatan

Mahmoud Mekki
Mahmoud Mekki

KAHERAH - Naib Presiden Mesir, Mahmoud Mekki mengumumkan peletakan jawatan beliau semalam -  pada hari negara itu mengadakan proses pengundian peringkat kedua referendum draf perlembagaan, yang menjadi kontroversi dan ketegangan pula berterusan buat minggu keempat.

Mahmoud, yang juga seorang hakim, dilantik sebagai Naib Presiden pada Ogos lalu.

Katanya, dunia politik tidak sesuai dengan jiwanya yang berlatar belakangkan profesional.

Semalam, stesen televisyen negara itu turut mengumumkan gabenor bank pusat, Farouq al-Uqdah turut meletak jawatan tetapi perkara itu dinafikan oleh seorang anggota Kabinet.

Terdapat juga spekulasi mengatakan peletakan jawatan Mahmoud bermakna draf perlembagaan tidak akan diteruskan.

Mahmoud mengumumkan peletakan jawatannya hanya beberapa jam sebelum berakhirnya pengundian pusingan kedua semalam.

“Saya sedar yang dunia politik tidak sesuai dengan latar belakang profesional saya sebagai seorang hakim,” kata beliau.

Mahmoud yang berusia 58 tahun berkata, beliau sebenarnya mahu meletakkan jawatan pada 7 November lalu tetapi keadaan memaksanya untuk terus kekal.

Perlembagaan itu dijangka diluluskan.

Peringkat pertama pengundian diadakan minggu lalu.

Pembangkang menegaskan meskipun perlembagaan diluluskan ia tidak akan mengakhiri pergolakan yang sedang dialalui Mesir.

Presiden Mohammed Morsi dan penyokong berulang kali menegaskan draf itu akan menjamin demokrasi negara.

No comments:

Post a Comment