Friday, December 21, 2012

Misteri harta Sukarno





         
JAKARTA: Isu harta peninggalan bekas Presiden Indonesia, Sukarno, kembali menjadi perhatian ramai apabila ada individu di Austria mendakwa boleh mendapatkannya dari sebuah bank di Switzerland.

Akhbar Austria, Kronen Zeitung, edisi 17 dan 19 Disember memuatkan mengenai dakwaan harta berkenaan.


Akhbar itu juga melaporkan, seorang perunding bernama Gustav Jobstmann mengaku boleh membantu mendapatkan harta berkenaan.

Menurut Jobstmann, harta Sukarno itu bernilai AS$180 bilion (RM550 bilion) dan kini tersimpan dalam peti kebal Union Bank of Switzerland (UBS).


“Saya memiliki dokumen penting bagi menyokong kewujudan harta berkenaan,” katanya. Jobstmann berkata, dia menghubungi seorang daripada waris Sukarno, Seno Edy Sukanto, untuk memaklumkan mengenai isu berkenaan.


Katanya, dia berjanji membantu waris bekas presiden itu mendapatkan harta berkenaan dengan syarat mereka melabur semua kekayaan itu di Austria.

Sementara itu, versi dalam talian akhbar sama menyatakan, jika dakwaan Jobstmann itu benar, ia adalah rahmat yang sangat besar kepada Austria. Penulis berita itu, Klaus Loibnegger, berkata Austria memang memerlukan banyak pelaburan bagi mengembangkan ekonominya. Kronen Zeitung adalah antara akhbar tertua di Austria dan ia mula diterbitkan sejak 2 Januari 1900. - Agensi

No comments:

Post a Comment