Saturday, January 26, 2013

Australia gesa rakyat tinggalkan Benghazi



LONDON 25 Jan. - Australia hari ini mengikuti langkah Britain, Jerman dan Belanda membuat gesaan supaya semua rakyatnya meninggalkan bandar Benghazi di Libya, ekoran 'ancaman khusus ke atas 'warga Barat' yang dikaitkan dengan campur tangan Perancis di Mali.
Amaran yang dikeluarkan Britain itu, semalam mengundang kemarahan kerajaan Libya yang menegaskan tiada 'risikan terbaharu' bagi mewajarkan kebimbangan negara itu ke atas bandar di timur Libya itu.
Jabatan Hal Ehwal Luar Australia, hari ini berkata, bagaimanapun mereka sedar akan ancaman khusus terhadap warganegara Barat di Benghazi dan semua rakyat negara itu perlu meninggalkan bandar tersebut dengan segera.
''Terdapat risiko serangan balas terhadap sasaran barat di Libya ekoran campur tangan Perancis dalam konflik di Mali pada bulan ini,'' kata jabatan itu.
Benghazi merupakan bandar bermulanya kebangkitan rakyat di Libya bagi menggulingkan Muammar Gaddafi pada 2011 dan bandar yang menyaksikan Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara itu terbunuh dalam serangan pada September lalu.
Amaran yang bermula dari London itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron mengingatkan tragedi berdarah membabitkan tebusan di kompleks pemprosesan gas di In Amenas, Algeria merupakan sebahagian daripada 'perjuangan pengganas' di seluruh dunia.
''Kami sedar akan ancaman khusus terhadap warga Barat di Benghazi dan menggesa rakyat Britain di situ supaya segera meninggalkan bandar tersebut,'' kata Pejabat Kementerian Luar di London dalam satu kenyataan.
Jerman dan Belanda kemudian mengikuti langkah Britain mengarahkan rakyat mereka meninggalkan Benghazi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Libya, Abdullah Massoud terkejut dengan amaran Britain itu dan akan menuntut penjelasan daripada mereka.
''Kami mengakui wujud masalah keselamatan di Benghazi sejak beberapa bulan lalu, namun tiada risikan terbaharu mewajarkan tindakan Britain itu,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130126/lu_03/Australia-gesa-rakyat-tinggalkan-Benghazi#ixzz2J2FPnQr4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment