Demonstrasi aman bertukar ganas
Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di dataran Tahrir.
KAHERAH - Berpuluh penduduk cedera selepas pasukan keselamatan Mesir melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan ketika sambutan ulang tahun kedua penggulingan Presiden Hosni Mubarak, di dataran Tahrir, Kaherah, Mesir, kelmarin.

Mubarak, 84, kini dihukum penjara seumur hidup selepas menyebabkan pemberontakan hingga 850 terbunuh.

Sambutan sepatutnya diraikan secara aman, bertukar ganas apabila aktivis dan kumpulan pembangkang berhimpun di hadapan istana presiden di pinggir bandar Heliopolis bertindak menyerang anggota polis dengan membaling batu dan Molotov cocktail.

Media tempatan melaporkan, penunjuk perasaan dikatakan cuba melepasi halangan anggota keselamatan di Parlimen dan pejabat kerajaan sebelum kekecohan berlaku.

Pemimpin pembangkang dari kumpulan itu, Mohamed El Baradei dalam Twitternya berkata: “Anda diminta berkumpul ke dataran Tahrir untuk melakukan revolusi dan perkara serupa akan dilakukan di seluruh Mesir”.

Kumpulan pembangkang menuduh Presiden Mohammad Mursi mengkhianati revolusi rakyat ketika membuat draf Perlembagaan Disember tahun lalu kerana dipercayai mengetepikan hak kaum wanita dan kelompok minoriti Kristian di negara itu.

Kekacauan dan demonstrasi jalanan serta krisis ekonomi melanda negara itu sejak Mursi menerajui Mesir Jun tahun lalu. - AP