Wednesday, January 23, 2013

Gempa bumi kuat gegar wilayah Aceh



PENDUDUK meninggalkan rumah mereka selepas gempa bumi kuat melanda wilayah Aceh 
di Indonesia semalam.


BANDA ACEH, Indonesia - Satu gempa bumi kuat menggegarkan rantau barat Indonesia semalam dengan menyebabkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbunuh manakala penduduk yang panik bertempiaran melarikan diri.
Beberapa orang cedera manakala sejumlah kediaman turut rosak dalam bencana tersebut.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia menyatakan, gempa tersebut yang berukuran 6.0 pada skala Richter tidak mencetuskan ombak besar tsunami.
Gempa itu berlaku sekitar pukul 5.22 pagi semalam dan mengejutkan penduduk di beberapa buah bandar dan perkampungan di sini, dalam wilayah Aceh di utara Pulau Sumatera.
Bencana itu disusuli oleh gempa susulan bermagnitud 4.7 beberapa minit kemudian.
Ketua Daerah Pidie, Sarjani Abdullah berkata, seorang budak perempuan berusia sembilan tahun ditemui mati di bawah timbunan rumahnya yang runtuh.
Menurut pegawai berkenaan, sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mengalami luka dan patah tulang.
Sebuah agensi bencana alam tempatan memberitahu, sekurang-kurangnya 30 buah rumah dan sebuah masjid runtuh di daerah Pidie Jaya dengan ratusan penduduk kini dipindahkan ke beberapa tempat perlindungan sementara.
"Kejadian ini menakutkan kami, kami masih trauma dengan gempa bumi itu," kata seorang penduduk setempat, Masriadi.
"Isteri saya menjerit dan anak-anak saya pula menangis," tambahnya lagi.
Satu gempa bumi kuat pada 26 Disember 2004 mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut lebih 230,000 nyawa dengan separuh daripadanya merupakan penduduk wilayah Aceh. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2IkB3eZAY 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment