LONDON - Britain menyifatkan usaha Israel mewujudkan penempatan baru di wilayah Palestin yang dijajah hanya akan merumitkan lagi keadaan dan menyebabkan jalan ke arah damai menemui jalan penamat.

Setiausaha Luar Britian, Wiliam Hague memberi amaran bahawa tindakan Israel itu bakal mendapat kecaman dan tidak akan mendapat sokongan antarabangsa.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel untuk membuat penempatan haram itu.

“Saya kerap bercakap dengan pemimpin Israel dan menekankan kebimbangan berhubung penempatan baru itu bakal merumitkan lagi keadaan dan usaha damai dengan Palestin,” katanya dipetik BBC.

Ditanya sama ada Kesatuan Eropah (EU) akan membuat rundingan damai atau tidak, Hague berkata, pihaknya mempunyai strategi untuk dilakukan bersama Amerika Syarikat (AS) bagi mewujudkan insentif rundingan.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bakal berkuasa kembali dalam gabungan yang dikuasai oleh proagama dan nasionalis itu.

Rundingan yang disokong AS telah dibekukan sejak 2010 atas bantahan Palestin manakala Netanyahu pula menuntut Palestin supaya menyertai rundingan tanpa sebarang prasyarat.

Hague turut berkata, 2013 merupakan tahun terpenting bagi penyelesaian dan proses damai kerana jika tidak dicapai pada tahun ini, rakyat akan terus membuat kesimpulan yang penyelesaian antara dua negara itu adalah mustahil.

Justeru, beliau berkata, kedua-dua negara Palestin dan Israel perlu membuat rundingan tanpa sebarang prasyarat.