ISU NFC
ISU NFC
KUALA LUMPUR - Peguam Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusoff memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah meminta atau bertanya mengenai bayaran khidmat guaman kepada ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail, berhubung perkhidmatan yang bakal diberikan kepada syarikat National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau, yang merupakan saksi ke-18 kes itu, menafikan ada meminta bayaran RM5 juta daripada Shamsubahrin untuk servis yang akan diberikan semasa dalam perjalanan ke NFC dari KLCC.

Ahmad Damanhuri, 63, juga menafikan menurunkan permintaan kepada RM1 juta selepas Shamsubahrin tidak bersetuju dengan jumlah yang dianggap terlalu tinggi itu.
“Astaghfirullah, tidak betul tu. Saya tak pernah sebut mengenai bayaran,” katanya ketika menjawab soalan peguam Afifudin Mohd Hafifi.

Ahmad Damanhuri, yang pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Peperiksaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) berkata, sehingga kini, beliau langsung tidak tahu tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Beliau turut memberitahu mahkamah, dia tidak dimaklumkan mengenai peranan dan jawatan tertuduh dalam syarikat NFC, dan tidak mengetahui Shamsubahrin merupakan seorang perunding, semasa beliau menghadiri pertemuan kali pertama di syarikat itu.

Saksi ke-19, Pengarah Urusan syarikat keselamatan, Axis Super Force, yang beroperasi di Petaling Jaya, Ahmad Qadha Wan Teh, berkata beliau hanya mengenali Shamsubahrin melalui seorang rakan bernama Malik semasa mendapat kerja menjaga kawasan parkir kenderaan di KLCC, dua tahun lalu.

Beliau memaklumkan mahkamah, Mohd Salleh menawarkan syarikatnya itu kerja penyiasat persendirian untuk menyiasat seorang pekerja syarikat yang didakwa terlibat dalam pecah amanah.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menolaknya di saat akhir kerana tidak dipersetujui rakan kongsinya.

Turut sama menjadi saksi dalam kes itu semalam, dua juru akaun, Muhamad Muadzam Hassan dan Zubaidah Ahmad Shaarani, yang diminta untuk menguruskan akaun NFC.

Bagaimanapun, perkhidmatan dua juru akaun itu dibatalkan kerana Mohd Salleh sudah membentuk sebuah pasukan akauntan sendiri.

Shamsubahrin menghadapi 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh disambung hari ini.