Nik Aziz
Nik Aziz melihat keadaan kereta milik Mohd Hisyammuddin, semalam.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan tindakan pihak yang mensabotaj barangan peribadi milik aktivis-aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti), Sabtu lalu.

Nik Aziz berkata, semua aktivis perlu bersabar dengan kejadian terbabit dan dalam masa sama teruskan perjuangan untuk menuntut royalti serta pendaratan minyak dan gas di Kelantan.

“Setiap perjuangan akan ada penentang yang tidak berpuas hati, apa yang penting kita berada di pihak yang benar,” katanya, semalam.

Terbaru, kenderaan (Myvi) milik Setiausaha Royalti Malaysia, Mohd Hisyamuddin Ghazali didakwa disabotaj pihak tertentu di tempat penginapannya di Gombak, Kuala Lumpur dengan melarikan surat penting berkaitan memorandum tuntutan dengan Petronas dan juga replika plat
ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kejadian itu adalah sabotaj kedua selepas Kereta Nissan X-Trail Presiden Royalti, Nazeri Deraman didakwa dipecah dan disimbah cat 3 Januari lalu.

Sementara itu, Mohd Hisyamuddin berkata, kejadian itu berlaku selepas semua aktivis Royalti balik dari menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

Katanya, laporan dibuat di Gombak dan ia adalah susulan daripada 12 kes ugutan, keganasan dan ancaman yang dibuat melibatkan aktivis Royalti sejak lapan bulan lalu.

“Kami tidak gentar dengan ugutan ini dan akan lipat gandakan aktiviti tuntutan royalti dan pendaratan gas ke Kelantan dengan menubuhkan Royalti INTERNATIONAL di 36 buah negara yang menjalankan kerjasama dengan Petronas,” katanya.