A Paramasivam
A Paramasivam
IPOH – Polis menjelaskan kemalangan yang berlaku di Manjung melibat beberapa kenderaan Jumaat lalu bukan disebabkan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memintas kenderaan seperti dilapor sebelum ini.

Kejadian berlaku sebenarnya disebabkan oleh sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit yang tidak sempat membrek menyebabkan berlaku pelanggaran sesama sendiri.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, ia hanya sebuah kemalangan biasa dan pihaknya menasihatkan pelbagai pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Menurutnya, siasatan diteruskan dengan menahan individu ke empat berusia 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut yang berlaku di Ayer Tawar, Manjung, Jumaat lalu.

“Lelaki berkenaan yang berasal dari Sitiawan ditahan kira-kira jam 7 malam, Sabtu lalu bagi membantu siasatan dan jumlah tangkapan menjadi kepada empat orang. Sebelum ini, tiga ditahan berusia 18 hingga 24 tahun yang juga merupakan penduduk tempatan.

“Kita meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi sehingga siasatan terhadap kemalangan itu dilengkapkan selain meminta orang ramai tampil memberi keterangan membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, semalam.

Paramasivam berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, sebuah kenderaan milik JPJ dibakar dan 10 kenderaan lagi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Ayer Tawar-Ipoh.