Sunday, January 6, 2013

Presiden Syria tawar 4 langkah selesai krisis 22 bulan



BEIRUT — Sambil menyenaraikan empat langkah utama, Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, pihaknya tidak menolak usaha diplomatik yang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa, tetapi tidak akan berunding dengan mereka yang membawa idea "pengganas."

Beliau juga menyifatkan pembangkang sebagai "musuh Tuhan dan boneka Barat."

"Ada pihak yang mahu memecahbelahkan Syria dan mahu melemahkan negara ini. Tetapi Syria kekal kuat... dan akan kekalkan kedautan... ini yang mengecewakan Barat," kata beliau dalam ucapan sulung sejak Jun lalu.

Katanya, tindakan pembangkang terhadap beliau bukan satu revolusi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 60,000 orang telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat pada Mac 2011.

Sebaliknya kata beliau, Syria kini menjadi sasaran serangan yang tidak disangka dan konflik hanya dapat diselesaikan melalui gerakan popular.

Seperti dalam ucapan-ucapan sebelum ini, beliau berkata, tenteranya merupakan kumpulan pejuang yang menyasarkan "penjenayah pembunuh" dan unsur-unsur jihad.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan berlaku pemberontakan terhadap pemerintahannya yang diwarisi daripada keluarganya sejak berdekad lalu.

Dalam nada tegas, beliau turut mengatakan Syria tidak akan mematuhi telunjuk sesiapa.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat Syria mengambil bahagian dalam inisiatif yang dijangka menamatkan konflik yang berlarutan hampir 22 bulan.

Bashar menggariskan beberapa langkah yang menurutnya akan menyediakan penyelesaian kepada krisis Syria, iaitu:

- Mahu kuasa luar berhenti daripada membekalkan senjata kepada kumpulan pengganas
- Kemudian, tenteranya akan menghentukan operasi ketenteraan sambil mempertahankan kepentingan negara
- Seterusnya kerajaan akan berhubung dengan orang perseorangan dan parti politik di Syria untuk menyertai dialog kebangsaan
- Persidangan itu akan cuba membentuk piagam kebangsaan yang akan diundi menerusi referendum, dan akan diadakan pilihan raya parlimen dan sebuah kerajaan baru dibentuk

No comments:

Post a Comment