Thursday, February 14, 2013

Diragut ketika sedang minum



CHUKAI - Seorang pesara kerajaan kerugian RM1,700 apabila beg tangannya diragut seorang pemuda ketika sedang minum bersama rakan di Chendol Kopitiam dekat Taman Chukai Utama, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, bekas pengetua wanita berusia 60 tahun itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana tergamam dengan tindakan suspek yang tiba-tiba merentap beg tangannya yang diletakkan di atas kerusi bersebelahannya.

Difahamkan, ketika kejadian, suspek yang memakai topi keledar tiba-tiba meluru masuk ke dalam kopitiam itu lalu melarikan beg tangan mangsa.

Suspek berlari keluar dan membonceng sebuah motosikal yang ditunggangi rakannya yang sudah sedia menunggu di luar restoran sebelum memecut laju dan gagal dikejar orang awam.

Dipercayai suspek memerhatikan gerak geri mangsa sebelum bertindak meragutnya.

Akibat kejadian itu, mangsa kehilangan pelbagai dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank yang diletakkan dalam beg tangannya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira jam 6.10 petang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam premis yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, polis kini giat mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai penagih dadah.

No comments:

Post a Comment