Thursday, February 14, 2013

Minta maaf tapi terus hina Islam


Wellington: Ahli politik New Zealand, Richard Prosser meminta maaf semalam kerana berkata lelaki muda Islam ialah ancaman keganasan dan tidak sepatutnya dibenarkan menaiki pesawat milik negara Barat.

Selepas kenyataannya dikecam di seluruh spektrum politik, Prosser dari parti New Zealand First berkata beliau gagal mengenali majoriti umat Islam yang mematuhi undang-undang dan tidak menyokong pelampau.
Prosser berkata, cadangan beliau yang merangkumi semua lelaki berusia 19 hingga 35 tahun yang beragama Islam, kelihatan seperti orang Islam, atau datang dari negara Islam, dilarang menaiki pesawat terlalu luas, tetapi masih menyokong profil sasaran penumpang pesawat.

“Saya tidak sepatutnya mencadangkan larangan menyeluruh, saya sepatutnya menggesa siasatan dibuat mengenai merit profil sasaran. Ia sesuatu yang tidak sepatutnya saya lakukan dan saya meminta maaf kerana itu,” katanya kepada Radio New Zealand tanpa mengulas lanjut.

Katanya, beliau tidak kesal menggelar Islam agama zaman batu dalam kolum yang disiarkan di majalah Investigate.

“Saya bercakap mengenai Islam dan saya tidak meminta maaf di atas hakikat saya tidak dapat menerima orang merendahkan wanita dan tiada masa untuk institusi, apa saja, yang menindas hak asasi manusia,” katanya.

Perdana Menteri, John Key menyifatkan kenyataan Prosser itu sebagai mengerikan, manakala komuniti Islam menggesa beliau meninggalkan Parlimen, sesuatu yang tidak akan dilakukannya.
Bekas ahli politik Parti Buruh, Kelvin Davis, memberi tindak balas di akaun Twitter yang berbunyi: “Lebih baik diam dan biarkan semua orang berasa anda bodoh berbanding buka mulut dan mengesahkan anggapan itu.”
AFP

No comments:

Post a Comment