Ratusan polis protes kerajaan Mursi
Ratusan anggota polis melancarkan protes terhadap kerajaan Mursi di tujuh wilayah Mesir, semalam.
KAHERAH - Ratusan pegawai polis bertindak menutup ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri di tujuh wilayah Mesir sebagai tanda protes selepas merasakan mereka dieksploitasi oleh kerajaan pimpinan Presiden Mesir, Mohamed Mursi.

Pemimpin kesatuan polis, Ahmed Al-Helbawi berkata, kesatuan polis mendakwa, Mursi dan sekutunya menggunakan anggota polis sebagai alat untuk menempelak musuh politik beliau sekali gus mengalihkan pandangan masyarakat antarabangsa.

“Kami tidak mahu menjadi alat atau menanggung kegagalan politik beliau. Pertempuran antara orang awam dan polis setiap hari perlu dihentikan,” katanya.

Menurutnya, media dan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa menuding jari ke arah polis Mesir berikutan rusuhan yang tercetus di ibu negara itu.

“Terdapat banyak laporan menyatakan polis dan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap orang awam sedangkan kami tidak dibekalkan dengan senjata.

Laporan ini jelas menjejaskan imej polis sebagai pengawal keselamatan yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Mursi juga enggan menyediakan keperluan lengkap yang diperlukan anggota polis dalam melindungi diri.

“Kami hanya bergantung kepada hos air dan gas pemedih mata untuk berbalas serangan,” katanya.

Sejak tiga minggu lalu, lebih daripada 50 dilaporkan maut sepanjang pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Kejadian itu menyebabkan 500 orang awam melakukan protes di hadapan ibu pejabat polis di Alexandria, kelmarin. - Reuters