Saturday, February 2, 2013

Iran tingkat sokongan kepada Bashar: Hillary



Washington: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton semalam berkata, Iran meningkatkan sokongannya kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad sementara Russia masih mengirim wang dan senjata kepada rejim itu.

“Iran dengan jelas berkata, mengekalkan Bashar untuk terus berkuasa adalah menjadi keutamaannya. Kami percaya mereka sudah mengambil langkah menghantar lebih ramai pegawai, bukan saja untuk membantu Bashar, tetapi juga untuk menyokong dan memberi nasihat kepada tentera yang setia kepada presiden itu,” kata Hillary.


Dalam wawancara terakhirnya selaku Setiausaha Negara, Hillary berkata, Iran membabitkan diri secara aktif sejak sengketa Syria mula tercetus.



“Mereka nampaknya meningkatkan pembabitan mereka dan perkara ini amat membimbangkan kami semua,” katanya kepada wartawan.


Beliau juga berkata, meskipun Amerika Syarikat berusaha untuk membabitkan Moscow bagi mencari penyelesaian antarabangsa terhadap perang di Syria yang sudah berlarutan sejak 22 bulan lalu, Russia masih terus menghulurkan bantuan kepada Bashar.


“Russia tidak bersikap pasif dalam memberi sokongan kepada Bashar. Paling jelas ialah pembelaan mereka terhadap Bashar di Majlis Keselamatan. Tetapi, ada cara lain yang mereka turut lakukan untuk melindungi rejim itu.

“Kami mempunyai alasan untuk percaya bahawa Russia juga masih membekalkan bantuan secara kewangan dan ketenteraan dalam bentuk kelengkapan kepada Bashar,” kata Hillary. - AFP

No comments:

Post a Comment