Saturday, February 2, 2013

Kuasa polis agama Saudi dikurangkan



Arab Saudi menetapkan peraturan baru ke atas penguat kuasa agama negara itu yang didakwa sering bertindak melampaui batasan ketika menjalankan tugas.

Ketua Suruhanjaya Penggalakan Kebaikan Dan Pencegahan Maksiat, Shaikh Abdul Latif Abdel Aziz, berkata melalui sistem baru itu, sesetengah kuasa - seperti menyiasat suspek dan mengenakan dakwaan - akan dihadkan kepada polis dan pendakwa awam. “Penguat kuasa agama masih boleh menahan seseorang yang melakukan kesalahan yang ketara, seperti mengganggu wanita, meminum arak dan dadah, memeras ugut serta mengamalkan sihir,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, suspek akan diserahkan kepada polis dan dihadapkan ke mahkamah kerana pasukannya tidak lagi boleh menentukan dakwaan yang akan dikenakan ke atas mereka. Menurut Shaikh Abdul Latif, undang-undang baru itu diluluskan Kabinet Arab Saudi.



Katanya, pasukan itu juga akan terus menghalang wanita daripada memandu, mengharamkan hiburan awam dan memastikan semua perniagaan, termasuk pasar raya dan stesen minyak, ditutup seketika untuk solat lima kali sehari. Dikenali sebagai tokoh sederhana, Shaikh Abdul Latif dilantik mengetuai pasukan penguat kuasa yang pernah diberi kuasa besar itu tahun lalu.


Pelantikannya memberi harapan kepada orang ramai untuk melihat pasukan berkenaan bersikap lebih lembut di negara mengamalkan Islam konservatif itu. Dua minggu selepas dilantik, Shaikh Abdul Latif melarang sukarelawan berkhidmat dengan pasukannya, sebelum mengharamkan kaedah ganas dan mengancam ke atas suspek. Jun tahun lalu, beliau tegas membantah tindakan seorang daripada pegawainya menghalau wanita keluar dari pasar raya hanya kerana mereka memakai pengilat kuku.

No comments:

Post a Comment