Friday, February 15, 2013

JPJ tetap pasang kamera AES di Pulau Pinang



BUTTERWORTH 15 Feb. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang tetap akan memasang Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini walaupun tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaccob berkata, pihaknya mempunyai hak untuk memasang AES di jalan-jalan persekutuan di negeri ini tanpa perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.
Katanya, setakat ini masih belum ada rundingan atau perbincangan dibuat antara JPJ dan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan sistem itu, namun pihaknya bersedia berbuat demikian sekiranya dipanggil.
"Kami akan pasang di jalan-jalan persekutuan kalau kerajaan negeri masih tidak benarkan. Mereka (kerajaan negeri) tidak boleh halang sebab jalan itu di bawah persekutuan, kecuali jalan negeri. Tapi, kalau boleh kami hendak pasang di semua jalan.
"Tetapi kita pun tidak mahu bersikap biadab dan akan berhubung dengan mereka (kerajaan negeri) sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya pada sidang akhbar Op Selamat Tahun Baharu Cina di Stesen Penguatkuasaan JPJ Penaga, di sini, hari ini.
Hassan berkata, JPJ masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara berikutan terdapat beberapa perkara yang masih dalam peringkat perbincangan, tetapi beliau percaya emasangan AES di Pulau Pinang akan dibuat secepat mungkin.
Katanya, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 59 lokasi di sekitar negeri ini sebagai lokasi berisiko kemalangan, terutama kemalangan maut, untuk pemasangan kamera AES.
"Daripada jumlah itu, 39 akan dipasang di jalan utama dan lebuh raya bagi mengesan kesalahan membabitkan had laju, sementara 18 lagi akan dipasang di kawasan lampu isyarat. Kemungkinan kami akan pasang AES separuh daripada 59 lokasi yang telah dikenal pasti itu iaitu di jalan-jalan persekutuan," katanya.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130215/dn_45/JPJ-tetap-pasang-kamera-AES-di-Pulau-Pinang#ixzz2KyZEkVId
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment