Friday, February 15, 2013

Peguam dakwa Dr Pornthip tarik diri kerana 'tekanan' kerajaan



SHAH ALAM - Tiga peguam PKR mendakwa pakar Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menarik diri  daripada melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat C Sugumaran ekoran campur tangan kerajaan, yang memberi tekanan ke atas negara jiran itu.

Dalam satu kenyataan bersama, N Surendran, R Sivarasa dan Latheefa Koya mendakwa, maklumat yang boleh dipercayai menunjukkan ada unsur campur tangan daripada kerajaan negara ini.

"Hasilnya komunikasi kedua pemimpin itu, akhirnya kerajaan Thailand memutuskan bahawa Dr Porntip tidak perlu melaksanakan bedah siasat itu agar tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

"Kami telah diberi fakta ini secara bertulis oleh sumber yang boleh dipercayai dan kita mempunyai keyakinan penuh terhadap maklumat yang disampaikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 23 Januari lepas, C Sugumaran merupakan pengawal keselamatan yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi.

Pada 31 Januari lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis menyerahkan kepada keluarga mendiang Sugumaran untuk menjalankan bedah siasat kali kedua terhadap mayatnya.

Beliau berkata polis tidak menghalang tindakan itu tetapi tidak mencampuri urusan berkenaan memandangkan keputusan bedah siasat telah dilakukan dan mendapati Sugumaran mati disebabkan saluran jantung tersumbat dan bukan disebabkan kekerasan polis.

Dua hari lalu, Surendran dilaporkan berkata, Dr Pornthip telah memaklumkannya melalui e-mel bahawa beliau tidak dapat melakukan bedah siasat kedua atas “alasan peribadi."

Kenyataan Dr Pornthip itu dikeluarkan sejurus peguam PKR itu mengeluarkan kenyataan bahawa Hospital Serdang bersetuju untuk melakukan bedah siasat kedua dan dijangka tiba di Malaysia pada 20 Februari ini.

Sementara itu, kumpulan peguam itu turut mengakui terganggu dengan maklumat yang disampaikan kerana mendakwa ia menunjukkan terdapat campur tangan di peringkat tertinggi hingga mengganggu keluarga Sugumaran menuntut keadilan.

Mereka mendakwa bahawa pihak polis, Kementerian Kesihatan dan kerajaan dilihat cuba membuat halangan pada setiap percubaan untuk bedah siasat kedua.

"Pihak berkuasa hanya mengubah pendirian dan membenarkan bedah siasat kali kedua selepas beberapa protes awam dilakukan," kata mereka.

Sehubungan itu, beliau menambah, pihaknya menyeru kepada perdana menteri dan kerajaan untuk mendedahkan kepada umum keadaan sebenar pengunduran Dr Porntip dari melakukan bedah siasat kedua.

"Kami juga menyeru perdana menteri, untuk segera menulis surat kepada Perdana Menteri Thailand untuk menarik balik semua bantahan awal dan untuk mendapatkan khidmat Dr Porntip menjalankan bedah siasat kedua," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment