Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tidak akan memohon maaf kepada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, sebaliknya menyerahkannya kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.

Mohamad yang sebelum ini didakwa telah memfitnah Wan Ahmad menerusi kenyataan di dalam akhbar Harakah berhubung isu 'projek IC' Sabah, bertajuk “Ragu Peranan SPR, Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan”.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan dan hanya menunggu susulan peguamnya sahaja.
"Saya tidak mahu mengulas perkara tersebut. Yang pasti, tiada maaf, saya sudah serahkan semuanya kepada peguam. Tunggu sahaja nanti," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Wan Ahmad menerusi peguamnya dari firma guaman Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak telah menghantar satu notis mahkamah menuntut Mohamad, Pas, Angkatan Edaran Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar Harakah dan penulis artikel tersebut membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik laporan berita itu dalam tempoh tujuh hari bermula 7 Februari lepas.

Tuntutan maaf tersebut adalah berikutan kenyataan Mohamad yang berunsur fitnah berikutan kenyataan di dalam akhbar Harakah baru-baru ini yang menggesa Wan Ahmad perlu meletakkan jawatan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPR kerana beliau tidak boleh dipercayai lagi.