Saturday, February 9, 2013

Konvoi bantah Ladang Rakyat




PENDUDUK Orang Asli turut menyertai demonstrasi membantah projek Ladang Rakyat di Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – Kebangkitan rakyat Kelantan menolak tindakan kerajaan negeri yang begitu rakus melakukan pengambilan tanah untuk projek Ladang Rakyat semakin memuncak apabila 457 buah kenderaan berkonvoi ke lokasi-lokasi yang terlibat dalam projek berkenaan di Hulu Kelantan semalam.
Konvoi Tolak Ladang Rakyat yang diketuai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali disertai lebih 2,000 orang yang kebanyakannya dari utara Kelantan ke Kampung Lalang di Kuala Betis dekat sini.
Rombongan tersebut turut singgah di jalan masuk ke sebuah ladang yang didakwa milik syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming di Simpang Tiga Perasu dekat sini.
Ibrahim yang ditemui berkata, isu pengambilan tanah untuk membangunkan projek Ladang Rakyat bukan perkara baharu tetapi kerajaan Pas Kelantan seperti memekakkan telinga biarpun rakyat merintih dan mengadakan banyak demonstrasi berhubung projek tersebut.
“Cerita kerajaan Pas Kelantan rampas tanah serah kepada Ladang Rakyat dan gadai kepada syarikat luar adalah cerita lama dan bukan fitnah atau rekaan.
“Hari ini, Perkasa membawa rakyat dari kawasan lain untuk melihat sendiri, cerita ini sudah lama dan keadaan ini sudah memuncak kerana rakyat ditindas selepas keringat mereka selama puluhan tahun meneroka tanah dirampas untuk Ladang Rakyat.
“Sebagai contoh, ada 19 keluarga datang bertemu saya dan meluahkan bagaimana tanah yang mereka teroka sejak sekian lama dan sudah membayar deposit RM1,900 tetapi hari ini mereka lihat tanah berkenaan sudah bersih dicuci oleh Ladang Rakyat,” dakwanya.
Ibrahim memberitahu, biarpun kerajaan Pas Kelantan sering menegaskan bahawa tanah tersebut tidak dijual tetapi ia telah dipajak untuk tempoh panjang sehingga mencecah 99 tahun menyebabkan kerajaan atau rakyat negeri itu kehilangan hak ke atas tanah berkenaan dan ia satu kerugian yang amat besar.
“Saya ada laporan mengenai senarai syarikat yang memiliki tanah di Ladang Rakyat. Mereka mempunyai hak yang lama, puluhan tahun termasuk Upayapadu Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Khoo Ham dan Kor Ming.
“Kita telah membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia tentang semua syarikat ini dan mendapati dalam lembaga pengarah tidak ada seorang pun bumiputera apatah lagi rakyat Kelantan.
“Tanah ini adalah Rizab Melayu sebenarnya tetapi digadai. Jawapan anggota exco, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, kata dia (kerajaan Pas Kelantan), kita tidak jual (tanah) tetapi digadai selama berpuluh tahun, apakah kita masih mempunyai hak ke atasnya,” ujarnya.
Jelasnya, kehidupan masyarakat Orang Asli juga terjejas teruk di mana kawasan mereka telah diambil menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2KMAQBSr3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment